KUALA LUMPUR, 9 Feb – Bekas Panglima Angkatan Tentera, Jeneral (Bersara) Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin dilantik sebagai salah seorang Ahli Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021, hari ini.
Beliau merupakan antara 19 AJK yang diperkenan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong bagi menganggotai badan tersebut.
Selain Zulkifli, turut dilantik adalah bekas Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria dan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Norian Mai.
AJK ini turut disertai oleh 6 orang Ahli Parlimen iaitu Tan Sri Noh Omar, Datuk Azizah Mohd Dun, Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dan Anthony Loke Siew Fook.
“Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 ditubuhkan di bawah Seksyen 2 Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021,
“Mereka berperanan untuk menasihati Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong mengenai kewujudan berterusan darurat besar di Malaysia dan penamatannya,” kata Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan.
Menurutnya, pihak Majlis Keselamatan Negara berperanan sebagai urus setia jawatakuasa ini. – airtimes.my