Home Semasa Perayaan Tahun Baru Cina dibenarkan ikut SOP

Perayaan Tahun Baru Cina dibenarkan ikut SOP

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 4 Feb – Kerajaan membenarkan sambutan perayaan Tahun Baru Cina pada 12 dan 13 Februari ini di rumah bersama ahli keluarga yang sama sahaja mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri berkata, kerajaan telah meneliti kesemua aspek dan mendapat nasihat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk membenarkan sambutan tersebut.

“Sambutan Tahun Baru Cina tetap dibenarkan namun mengikut SOP yang ditetapkan kerajaan sepertimana yang dilakukan ketika Hari Raya Aidilfitri dan Deepavali sebelum ini,

“Aktiviti majlis makan besar bersama keluarga juga hanya dibenarkan di rumah kediaman bersama ahli keluarga dari rumah yang sama sahaja,” katanya pada sidang media mengenai pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), hari ini.

Manakala bagi upacara sembahyang di tokong adalah tidak dibenarkan kecuali hanya 5 orang ahli jawatankuasa tokong sahaja.

“Semua penganut dan masyarakat Cina digalakkan melakukan upacara sembahyang di rumah masing-masing sahaja,” ujarnya.

Tambahnya lagi, aktiviti persembahan dan kebudayaan seperti tarian singa dan naga, perarakan tanglung, chingay serta opera cina atau pertunjukan pentas adalah tidak dibenarkan sama sekali.

“Aktiviti ziarah rumah ke rumah juga tidak dibenarkan dan rentas daerah serta negeri bagi merayakan Tahun Baru Cina juga tidak dibenarkan,

“Bagi negeri Sarawak yang masih dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), SOP perayaan Tahun Baru Cina akan diumumkan oleh kerajaan negeri dalam masa terdekat,” jelasnya. – airtimes.my

 

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!