Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Darat Op Penawar: 126 Askar Wataniah diatur gerak bantu perkasa PKP di Sibu

Op Penawar: 126 Askar Wataniah diatur gerak bantu perkasa PKP di Sibu

by Nurulhuda

KUCHING, 4 Feb – Tentera Darat Malaysia (TDM) terus komited dengan mengatur gerakkan pegawai dan anggotanya bagi membantu memperkasakan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Sibu.

Panglima Briged Ketiga Infantri Malaysia (3 Briged), Brigedier Jeneral Datuk Azhar Ahmad menjelaskan, seramai 6 pegawai serta 120 anggota lain-lain pangkat (LLP) tetap dan sukarela dari Rejimen 511 Askar Wataniah (Rej 511 AW) telah diaturgerak bagi membantu pasukan Briged Kesembilan Infantri Malaysia (9 Briged) dalam melaksanakan Operasi Penawar.

Beliau menjelaskan, aturgerak tersebut merupakan operasi yang pertama melibatkan anggota askar wataniah dari Rej 511 AW di luar kawasan penugasan mereka.

“Anggota Rej 511 AW akan diletakkan dibawah perintah kawalan operasi Op Penawar di kawasan tanggungjawab (KTJ) 9 Briged,

“Ini merupakan kali pertama elemen dari Rej 511 AW diaturgerak di luar kawasan tanggungjawab dan sekaligus membuktikan kemampuan serta kesiagaan pasukan sukarela sentiasa berada pada tahap yang tinggi,” katanya dalam hantaran di media sosial, hari ini.

Menurutnya, kesemua 126 anggota diatur gerak ke Sibu bermula hari ini dan akan bertugas sekurang-kurangnya 14 hari, bergantung kepada tempoh pelaksanaan PKP.

Azhar Ahmad turut menjelaskan, bantuan anggota daripada Rejimen 511 AW bukan disebabkan kekurangan anggota tetap ATM, tetapi sebagai penambahan anggota sedia ada yang kini bertugas untuk Operasi Benteng di sekitar Kuching. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply