Home Pertahanan dan Keselamatan APMM Selangor tahan kapal minyak bersauh tanpa kebenaran

APMM Selangor tahan kapal minyak bersauh tanpa kebenaran

by Nurulhuda

PELABUHAN KLANG, 30 Jan – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) negeri Selangor telah menahan sebuah kapal Tanker disyaki melakukan pemindahan minyak dan berlabuh tanpa kebenaran di kedudukan 1.2 batu nautika barat laut Pulau Carey, Selangor, semalam.

Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Mohammad Rosli Kassim berkata, penahanan yang dibuat kira-kira jam 11.45 pagi semalam itu adalah hasil maklumat dan operasi bersama Jabatan Laut Wilayah Tengah.

“Sebaik menerima maklumat tersebut, bot ronda APMM yang sedang melaksanakan Op Ehsan terus ke lokasi bersama Jabatan Laut Wilayah Tengah dan membuat pemeriksaan ke atas kapal berkenaan,

“Hasil pemeriksaan, mendapati kapal berkenaan disyaki melakukan kesalahan bersauh tanpa kebenaran Ketua Pengarah Jabatan Laut Malaysia,” katanya dalam kenyataan di media sosial milik APMM.

Beliau berkata, hasil siasatan lanjut, kapal yang berdaftar di Singapura itu dalam perjalanan dari Tanjung Pelepas, Johor ke Pelabuhan Klang dan disyaki telah melakukan pemindahan minyak.

“Kapal tersebut dikendalikan 15 kru termasuk nakhoda kapal yang merupakan warga Indonesia berusia antara 20 hingga 64 tahun dan kesemuanya memiliki dokumen pengenalan diri yang sah,

“Agen kapal yang dilantik turut berada di atas kapal tersebut,” tambahnya.

Menurut Mohammad Rosli, kapten, pembantu jurutera kapal serta agen ditahan dibawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 dan dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Negeri Selangor untuk siasatan lanjut.

“Jika didapati bersalah boleh didenda tidak melebihi RM 100 ribu atau penjara tidak melebihi 2 tahun atau kedua-duanya,” ujarnya. –airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!