KUALA LUMPUR, 29 Jan – Tentera Darat Malaysia (TDM) komited memperkukuhkan ketumbukan pada tahun 2021 dengan memberi tumpuan kepada aspek gerakan, tadbir dan logistik supaya misi serta visi dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
Panglima Tentera Darat, Tan Sri Zamrose Mohd Zain dalam perutusan hari ini melalui sidang video memaklumkan ketiga aspek ini akan diperkukuhkan di samping peningkatan pengurusan keselamatan.
Selain itu, TDM akan terus mengoperasikan Kertas Putih Pertahanan (KPP) yang menjadi asas kepada perancangan strategik TDM dan komited merealisasikan Strategi Ketenteraan Negara (SKN 2.0) serta Dimensi Keempat Angkatan Tentera Malaysia (4DMAF).
Aspek gerakan
Zamrose menjelaskan, selain daripada meneruskan usaha memperolehi aset-aset strategik bagi melengkapkan keupayaan untuk mengoperasikan dua wilayah secara serentak, TDM juga akan menambah baik polisi dan direktif sedia ada.
“Ini adalah antara usaha bagi membolehkan TDM terus dapat beroperasi sama ada di dalam operasi teras mahupun operasi membantu kerajaan di dalam operasi kemanusiaan dan bencana alam,
“Selain itu, TDM juga akan memperlengkapkan keperluan tempur dan peralatan persendirian anggota ke tahap 100 peratus. Kelengkapan persendirian adalah aspek penting bukan sahaja dari segi meningkatkan tahap kesiagaan warga TDM dalam misi, malah ia juga merupakan elemen penting dalam memelihara moral dan semangat juang anggota,” katanya.
Aspek tadbir urus
TDM akan meneruskan inisiatif penstrukturan organisasi bagi meningkatkan keberkesanan operasi dan pentadbiran TDM secara keseluruhannya.
“Tumpuan diteruskan dalam menempatkan aset dan sumber manusia di wilayah dua untuk membolehkan keupayaan beroperasi serentak di dua wilayah tercapai,
“Aspek moral dan jati diri anggota juga menjadi tumpuan TDM pada tahun 2021 bagi memperkukuhkan kompetensi sumber manusia sebagai aset utama TDM,
“Manakala, aspek pembudayaan inovasi akan terus diperkasakan bagi membolehkan organisasi diurus dengan lebih cekap dan berkesan.” tambahnya.
Aspek logistik
Bagi mengukuhkan aspek logistik pula, TDM telah menetapkan agar penumpuan diberikan kepada peningkatan keselamatan fizikal melibatkan instalasi-instalasi keselamatan dan kem-kem tentera.
“Keutamaan seterusnya diberikan bagi menambah baik aspek kebajikan meliputi senggaraan kediaman dan bangunan teknikal,
“Penambahbaikan juga akan terus dilaksanakan ke atas fasilitas latihan bagi memastikan latihan dapat dilaksanakan dengan baik dan berkesan. TDM juga merancang untuk meningkatkan aspek keselesaan dan kemudahan kepada seluruh warga,” ujarnya.
Menurutnya, dalam meneruskan pelan – pelan tindakan yang dirancang, beberapa pengubahsuaian ke atas pendekatan sedia ada perlu dilaksanakan supaya ia bersesuaian dengan norma baharu dan situasi semasa.
“Bagi memastikan kompetensi anggota dikekalkan, aktiviti latihan perlu diteruskan berpandukan norma baharu walaupun terdapat sekatan dari segi eksesais melibatkan negara asing. Aktiviti-aktiviti meningkatkan profesionalisme perlu diteruskan dengan mengaplikasi pendekatan-pendekatan baru,
“Selain itu, perhubungan pertahanan dengan negara asing juga akan terus dilaksanakan melalui penggunaan media baru secara maya dan juga melalui kerjasama yang dijalin bersama wakil-wakil pertahanan di dalam negara,
“Saya percaya selagi prinsip ini difahami dan dilaksanakan oleh setiap warga TDM, kita akan dapat mencapai setiap pelan tindakan yang dirancang,” tambahnya. –airtimes.my