KUALA LUMPUR, 26 Jan – Pengisytiharan Proklamasi Darurat bagi mengekang pandemik COVID-19 tidak seharusnya dipolitikkan dan konteks kepentingannya perlu difahami, kata Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Katanya proklamasi itu bagi memudah cara dan memperkasa segala tindakan kerajaan dalam mengawal penularan virus dengan membuat ordinan baharu tanpa perlu melalui proses penggubalan undang-undang di Parlimen yang mengambil masa.
“Bila kita isytihar darurat, kita boleh buat undang-undang di bawah ordinan darurat untuk tingkatkan kompaun. Contohnya, mungkin denda terhadap syarikat yang melanggar peraturan dinaikkan dan perkara itu sedang dikaji oleh Jabatan Peguam Negara (AGC).
“Undang-undang ini juga bertujuan mencegah berlaku kesalahan yang berulang. Sekiranya dinaikkan jumlah denda, mungkin individu atau syarikat akan berasa takut untuk mengulangi kesalahan sama,” katanya dalam temu bual eksklusif dengan Bernama, baru-baru ini.
Pada 12 Jan lepas, Istana Negara dalam satu kenyataan memaklumkan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memberi perkenan Pengisytiharan Proklamasi Darurat dilaksanakan sehingga 1 Ogos sebagai langkah proaktif membendung wabak COVID-19 di Malaysia.
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam pengumuman khas darurat pada hari sama menjelaskan bahawa jemaah menteri telah menasihati Yang di-Pertuan Agong mengeluarkan proklamasi darurat bagi seluruh negara menurut Perkara 150(1) Perlembagaan Persekutuan, berkuat kuasa 11 Jan 2021 hingga 1 Ogos 2021.
Perkara 150(1) itu antara lainnya memperuntukkan bahawa Yang di-Pertuan Agong boleh mengisytiharkan darurat jika baginda berpuas hati suatu darurat besar sedang berlaku menyebabkan keselamatan atau kehidupan ekonomi atau ketenteraman awam dalam persekutuan sedang terancam.
Kerajaan awam akan terus berfungsi seperti biasa di peringkat persekutuan dan negeri sepanjang tempoh pelaksanaan darurat, malah jentera pentadbiran Kerajaan Persekutuan serta negeri tidak akan terganggu dengan pengisytiharan proklamasi darurat.
Ismail Sabri berkata penyediaan draf ordinan oleh AGC berjalan lancar dan dijangka diumumkan dalam masa terdekat dan sebaik diumumkan, penguatkuasaan ordinan berkenaan adalah muktamad dan serta-merta.
“Peguam Negara akan draf cadangan (undang-undang) dan dibentang kepada Majlis Keselamatan Negara (khas untuk darurat). Kalau ordinan itu dipersetujui, ia akan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong. Sejurus diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong ia akan menjadi undang-undang,” katanya menjelaskan mengenai proses draf ordinan tersebut.
Ordinan membolehkan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dipinda bagi membendung, meningkatkan keberkesanan termasuk meningkatkan penalti atau hukuman ke atas sesiapa yang melanggar undang-undang dan peraturan berkaitan, dan ia berkuat kuasa sepanjang tempoh darurat sahaja.
Ismail Sabri berkata AGC juga sedang mengkaji pelaksanaan undang-undang di bawah Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) iaitu bagi menyediakan penginapan kepada pekerja asing dengan mematuhi spesifikasi yang ditetapkan.
“Banyak kes COVID-19 dilaporkan berlaku dalam kalangan pekerja kilang akibat isu perumahan yang sesak dan jangkitan mudah berlaku. Syarikat mahu untung besar namun kebajikan pekerja tidak dititikberatkan. Di bawah ordinan ini, kami mungkin akan berikan syarat atau arahan menyediakan perumahan selesa dan tindakan akan diambil sekiranya ingkar,” katanya.
Ketika ini, sebagai langkah mengurangkan jangkitan COVID-19, kerajaan juga mewajibkan majikan untuk memastikan pekerja asing yang digajikan mereka menjalani ujian saringan COVID-19 bermula 1 Jan.
“Setakat ini, lebih 100,000 pekerja asing di sektor perkilangan telah menjalani ujian saringan dan Kementerian Sumber Manusia (KSM) menyasarkan 880,000 pekerja asing di sektor ini selesai menjalani ujian saringan,” katanya.
Ismail Sabri yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pekerja Asing sebelum ini dilaporkan berkata Perakuan Penginapan akan menjadi prasyarat kepada majikan yang berhasrat mengambil pekerja asing baharu berkuat kuasa 1 Julai 2021.
Katanya sebelum majikan membuat permohonan membawa masuk pekerja asing, majikan perlu mendapatkan Perakuan Penginapan daripada KSM bagi membolehkan Jabatan Imigresen mengeluarkan visa. -Bernama