Home SemasaGlobal Myanmar terima hantaran pertama vaksin COVID-19 dari India

Myanmar terima hantaran pertama vaksin COVID-19 dari India

by Air Times News Network

YANGON, 25 Jan – Sebanyak 1.5 juta dos vaksin COVID-19 dari India telah dihantar ke Myanmar pada Jumaat lalu untuk diberikan kepada kira-kira 750 ribu rakyat negara tersebut bagi memerangi wabak itu.

Penghantaran vaksin Astra Zeneca yang dihasilkan oleh Serum Institut di India yang merupakan pengeluar vaksin terbesar di dunia itu turut membekal vaksin ke Maldives, Bhutan, Bangladesh dan Nepal.

Dalam satu kenyataan oleh Duta Besar India ke Yangon, Saurabh Kumar yang dilaporkan Channel News Asia, “Ini adalah hadiah dari kerajaan India kepada Myanmar,”

Jurucakap Kementerian Kesihatan Myanmar, Khin Khin Gyi memaklumkan bahawa vaksin yang diterima akan disimpan di dalam bilik khas sebelum dilancarkan pada minggu hadapan.

“Keutamaan diberikan kepada petugas kesihatan dan seterusnya ialah kepada warga tua,” ujarnya, kepada pemberita sambil turut menyatakan Myanmar mempunyai lebih daripada 110,000 petugas kesihatan yang perlu mendapatkan vaksin tersebut sebagai perlindungan diri untuk terus menangani virus COVID-19.

Biarpun vaksin tersebut telah diterima, Khin Khin Gyi turut menyeru warganya untuk tidak leka dan terus mematuhi SOP yang ditetapkan kerajaan sebagai pencegahan agar virus tersebut tidak terus tersebar.

Perdana Menteri Myanmar, Aung San Suu Kyi juga menerusi laman media sosialnya mendesak agar rakyatnya terus menyokong kesemua program pencegahan dan rawatan COVID-19 yang telah disusun kerajaan.

Hingga kini, Myanmar berdepan gelombang kedua COVID-19 yang mencatatkan 136 ribu kes dan 3,000 kematian.

Terdahulu, Myanmar mencatatkan penurunan kes baru-baru ini namun tidak dapat dipastikan oleh pakar perubatan kerana kadar saringan yang dilakukan negara itu masih rendah.

Manakala, Menteri Luar China dalam lawatannya ke Myanmar pada Selasa lalu turut menjanjikan 300 ribu dos vaksin dari China akan dihantar ke Myanmar. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!