SANDAKAN, 21 Jan – Pasukan Polis Marin (PPM) Sandakan berjaya menahan seorang lelaki warganegara Filipina kerana kesalahan memiliki dadah jenis methamphetamine di Pasar Umum Sandakan, pada tengahari Selasa lepas.
Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Sandakan, Deputi Superintenden Polis (DSP) Rusdin Banin berkata, suspek berumur 34 tahun itu ditahan oleh pegawai dan anggotanya dalam rondaan Ops Landai kerana dalam keadaan yang mencurigakan.
“Hasil pemeriksaan badan suspek telah menemui bungkusan putih disembunyikan dalam lipatan seluar suspek,
“Pemeriksaan lanjut mendapati beberapa plastik kecil lutsinar berisi hablur jernih disyaki dadah jenis ‘methamphetamine’ berada dalam milikan dan kawalan suspek,” katanya dalam hantaran di media sosial PPM hari ini.
Menurut Rusdin nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM850.00.
“Tangkapan dan rampasan telah diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Sandakan kerana memiliki dadah jenis methamphetamine atas kesalahan Akta Dadah Berbahaya 1952,
Tambahnya, PPM mengalakkan orang ramai menyalurkan sebarang maklumat melalui aplikasi WhatsApp PPM Wilayah 4 Sabah di talian 0132831197. – airtimes.my