KUALA LUMPUR, 21 Jan – Di sebalik kejayaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam melaksanakan Operasi Benteng (Op Benteng), terdapat pelbagai kisah yang tersendiri di mana ianya wajar dikongsikan agar memberi peringatan dan kesedaran kepada rakyat Malaysia.
Ada sesetengah pihak turut beranggapan bahawa ancaman kemasukan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) tidak akan menggugat sebarang ancaman kepada keselamatan dan kedaulatan negara.
Tambahan pula, tanggapan ini juga menjadi asas kepada sesetengah pihak bahawa mengerahkan pasukan tentera dalam melaksanakan operasi membendung kemasukan PATI di kawasan sempadan terutamanya dalam Operasi Benteng adalah satu tindakan ‘over kill’ atau melampaui batas.
Bagi Koperal Prian dari Kor Armor Diraja (KAD), berdepan dengan 31 orang PATI merupakan antara peristiwa yang tidak dapat dilupakan dalam perkhidmatannya.
Beliau merupakan antara perajurit tanah air yang menggalas tanggungjawab untuk menjaga kedaulatan negara melalui Op Benteng.
Prian bersama 2 orang rakannya sedang melaksanakan rondaan dan kawalan di kawasan hutan berhampiran pantai.
Antara tugas yang perlu mereka jalankan adalah untuk melaksanakan pemantauan di kawasan pesisiran pantai di sebuah pos kawalan sementara yang dibina secara tersembunyi dari penglihatan umum terutama dari pandangan mereka yang menjalankan aktiviti di laut.
“Semasa melakukan kawalan, kami mendapati terdapat sebuah motorsikal tidak berlampu menghampiri kawasan rondaan,
“Gerak-geri penunggang terbabit adalah mencurigakan dan dilihat sedang memantau keadaan sekeliling,” kata Prian kepada Air Times yang menceritakan pengalamannya.
Menyedari sesuatu yang tidak kena, anggota yang bertugas mengambil langkah berjaga-jaga untuk menghadapi sebarang kemungkinan.
Hari telah melalui detik tengah malam.
Dalam kegelapan malam yang disulami bunyi unggas dan ombak menghempas pantai, Prian dan rakan setugasnya terus melakukan pemerhatian di kawasan sekeliling dengan bantuan alat pandang malam (Night Vision Goggle, NVG).
“Kami mengesan terdapat cahaya api yang mengecil dan membesar di kawasan hutan dan ianya sudah tentu menandakan sesuatu yang tidak kena,
“Kami terus tumpu kepada cahaya tersebut dan saya mendapati seramai 4 orang individu sedang membawa beg,
“Salah seorang daripada mereka menggunakan pemetik api untuk menerangi jalan sambil mengenggam lampu suluh,” ujarnya.
Gelagat 4 individu yang mencurigakan itu terus diperhati oleh anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) yang sedang menggalas amanah menjaga persempadan negara.
Tidak lama kemudian, salah seorang individu dari kumpulan terbabit telah memberi isyarat kepada seseorang di belakangnya. Kami terus melaksanakan pemerhatian dengan lebih teliti dan saya dapati bilangan individu yang dicurigai semakin bertambah.
“Saya dapati terdapat 31 orang individu dicurigai berada di sektor kami dan salah seorang memiliki senjata api,
“Demi keselamatan saya dan yang lain, kami mencari perlindungan untuk terus memerhatikan tindak-tanduk mereka,” jelas Prian.
Menurut beliau, kesemua individu terbabit merupakan PATI yang cuba menyusup keluar dari negara.
Tanpa melengahkan masa, Prian menghubungi pasukan tindak cepat Quick Reaction Force (QRF) untuk memaklumkan perkembangan di sektor kawalannya.
Bagi mengelakkan sasaran bergerak ke lokasi lain, Prian dan 2 rakannya menghampiri dan menyerbu kedudukan kumpulan PATI terbabit sebelum pasukan QRF tiba bagi memastikan 31 orang PATI yang cuba keluar dari negara ini melalui laluan yang tidak sah dapat diberkas.
“Rasa takut itu memang ada tetapi demi negara, kami terus mara untuk mengepung kumpulan PATI terbabit,” katanya.
Walaupun menyangkakan diri mereka selamat dalam kegelapan malam, kumpulan PATI terbabit tidak menyedari bahawa mereka sedang dihampiri oleh anggota tentera.- airtimes.my