[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=FzdsvSKlVls[/embedyt]
MARAN, 18 Jan – Kerjasama dan komitmen yang tinggi anggota 91 Rejimen Bantuan, Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) menyiapkan jambatan Compact Bailey 200 di Kampung Belimbing, Maran, Pahang dalam masa yang singkat membuktikan tenaga serta kemahiran anggota tentera setanding dengan tenaga pakar yang lain.
Pegawai Waran II (Bersara) Mohd Najib Harun berkata, anggota tentera masa kini tidak lagi berperang dengan komunis seperti zaman dahalu, tetapi mereka turut berperang dengan kepakaran serta kemahiran yang ada dalam membuat serta menyiapkan sesuatu tugasan terutamanya ketika membantu rakyat.
“Anggota tentera sentiasa siap siaga untuk berperang dan ketika waktu aman, tentera akan membantu rakyat sekiranya diperlukan dalam menghadapi bencana seperti sekarang ini,
“Ketika ini, negara berhadapan dengan wabak COVID-19, adanya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan kini bencana banjir,
“Terdapat sesetengah tempat ada jalan altenatif lain, tetapi ia juga turut ditenggelami air. Anggota tentera turut digerakan untuk membantu kerajaan pada masa kini,” katanya kepada Air Times semasa menyaksikan proses pembinaan jambatan sementara oleh anggota 91 RAJD, baru-baru ini.
Mohd Najib yang juga Pengerusi KRT Felcra Sri Makmur, turut meluahkan rasa bangga dengan kehadiran anggota RAJD yang telah bertungkus-lumus menyiapkan jambatan sementara di kampung itu yang runtuh akibat paras air naik dengan mendadak sejak 4 Januari lalu.
“Saya sebagai penduduk kampung mengucapkan ribuan terima kasih kepada Kementerian Pertahanan, terutamanya Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kerana telah menghantar RAJD untuk membantu penduduk di Kampung Sri Makmur yang terputus hubungan,
“Sebagai pesara tentera, saya juga berasa sangat berbangga kerana askar jurutera kita dapat membantu penduduk setempat dalam menyiapkan jambatan ini dengan cepat. Biasanya pembinaan ini mengambil masa yang lama, tetapi ia dapat disiapkan dalam masa 2 hari,
“Runtuhan jambatan ini menyebabkan kegusaran kepada penduduk kerana ia merupakan jalan utama keluar masuk penduduk,
“Kehadiran anggota 91 RAJD telah membuatkan dan menyenangkan hati penduduk Felcra Sri Makmur yang mana dengan siapnya jambatan ini merupakan satu rahmat dan sangat diharapkan oleh penduduk setempat,” tambahnya.
Menurutnya, kepimpinan pucuk pemimpin tertinggi dalam menerajui ATM merupakan kejayaan yang harus dibanggakan kerana dapat menyediakan anggota yang mempunyai komitmen dan semangat yang tinggi.
“Kebolehan dan komitmen bekerja dalam satu kumpulan besar yang bermula dari pihak atasan sehingga anggota bawahan mempamerkan kerjasama yang sangat baik. Inilah yang harus dibanggakan oleh ATM,
“Semua rakyat perlu berbangga dengan kejayaan anggota tentera ini dan terbuktilah tentera masih diperlukan. Rakyat Malaysia akan sentiasa dilindungi oleh anggota tentera yang banyak menempah nama di peringkat antarabangsa,” ujarnya.-airtimes.my
Gambar galeri: