KUALA LUMPUR, 18 Jan – Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri hari ini menjelaskan sebanyak 15 perolehan aset baharu yang dirancang untuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
“Kesemua aset-aset baharu ini adalah sebahagian daripada usaha kita untuk terus memperkasakan kesiagaan ATM dalam mendepani ancaman semasa dan apa jua cabaran yang bakal mendatang,” kata Ismail Sabri semasa menyampaikan Amanat Menteri Kanan Pertahanan Bagi Tahun 2021, hari ini.
Amanat beliau disampaikan melalui sidang video dan disiarkan secara langsung di media sosial.
Beliau menambah, perolehan ini merangkumi ketiga-tiga cabang perkhidmatan ATM.
Antara perolehan yang dirancang adalah radar, persenjataan, Light Combat Aircraft, peralatan pasukan khas dan perubatan.
Selain itu, ATM dijangka akan menerima beberapa aset tempur iaitu 37 unit Kenderaan Pengangkut Berperisai (APC) AV8 Gempita, 1 unit meriam howitzer 105mm, 3 buah kapal Littoral Mission Ship serta 6 buah helikopter MD530G.
Pada masa yang sama, sejumlah aset akan diterima oleh ATM bagi memperkasakan kawalan sempadan di bawah Op Benteng.
“Kita juga akan menerima tambahan aset-aset seperti 6 Unit Interceptor Craft (FIC), 63 Trak 1 tan GS Cargo dan 27 unit All Terrain Vehicle (ATV),” ujarnya.
Beliau menjelaskan bahawa ATM telah menerima 25 buah AV8 Gempita, 17 unit meriam howitzer 105mm dan 2 buah set lengkap Hospital Medan pada tahun lalu.
“Pada tahun 2020, Kementerian Pertahanan telah berjaya menyelenggara 2 buah kapal selam dalam usaha meningkatkan keupayaan aset maritim terutamanya kepada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM),
“Kita juga berjaya memperolehi 11 unit Rigid Hull Inflatable Boat (RHIB) dan 1 unit Multipurpose Boat untuk membantu tugas-tugas kawalan sempadan negara dengan lebih berkesan di bawah Op Benteng,” katanya.
Menyentuh Belanjawan 2021, Ismail Sabri menjelaskan sebanyak RM 1.63 bilion diperuntukkan bagi memperoleh kelengkapan dan aset baharu. Selain itu, sebanyak RM 2.3 bilion digunakan bagi penyenggaraan aset-aset sedia ada.
“Sebanyak RM539 juta lagi adalah bagi pelaksanaan pembangunan projek fizikal ATM,
“Antaranya pembinaan kem tentera, pembangunan infrastruktur bagi Markas Tentera Darat, Laut dan Udara serta pembinaan Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT),” jelasnya. – airtimes.my