KUALA LUMPUR, 17 Jan – Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Ismail Sabri menegaskan kerjasama semua pihak amat diperlukan untuk memerangi COVID-19 terutamanya ketika negara sedang menghadapi pelbagai cabaran.
Beliau dalam satu hantaran di akaun Facebook rasminya berkata, negara turut diuji dengan bencana banjir ketika wabak COVID-19 melanda.
“Perlu saya ingatkan bahawa setiap arahan kerajaan amat penting untuk kita patuhi. Jangan terus alpa. Lawan dan terus lawan,
“Ingat, COVID-19 masih musuh utama kita ketika ini. Perangi COVID-19 adalah tanggungjawab kita,” katanya.
Beliau menambah, rakyat perlu mengamalkan kawalan kendiri dan mematuhi prosedur operasi standard bagi memecahkan rantaian jangkitan wabak.
Pada masa yang sama, Ismail Sabri menafikan mesej tular yang mendakwa beliau telah mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan akan dilaksanakan di negeri Kedah.
Beliau menegaskan sebarang pengumuman akan dibuat dalam sidang media. – airtimes.my
– airtimes.my