KUALA LUMPUR, 17 Jan – Seramai 17 pendatang asing tanpa izin (PATI) dan 2 orang tekong ditahan menerusi Operasi Benteng (Op Benteng) yang dijalankan bagi mengekang jenayah rentas sempadan serta penularan wabak COVID-19, semalam.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Op Benteng yang diterajui oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (AKSEM) turut merampas 7 buah kenderaan darat dalam operasi tersebut.
Pasukan keselamatan semalam juga telah melaksanakan sebanyak 107 Sekatan Jalan Raya (SJR) diseluruh negara.
“Op Benteng yang melibatkan ATM, PDRM dan RELA telah melaksanakan 336 SJR semalam, manakala Op Benteng PDRM (40 SJR) dan Op Benteng AKSEM (9 SJR),” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), pada hari ini.
Selain itu, pasukan Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai PDRM, semalam turut menahan 608 individu kerana melakukan kesalahan ingkar arahan Prosedur Operasi Standard (SOP) PKPP.
“Daripada jumlah itu, seramai 580 telah dikompaun manakala 27 direman dan 1 dijamin,
“Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk tidak memakai pelitup muka (200), gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (147), rentas negeri/daerah tanpa kebenaran (66) gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (46), premis beroperasi lebih masa (42), aktiviti pusat hiburan (11) dan lain-lain (96),”ujarnya. –airtimes.my