KUALA LUMPUR, 15 Jan – Dewan Pemuda Parti Islam Se Malaysia (PAS) hari ini mengutuk tindakan Presiden Parti Keadilan Rakyat (Keadilan), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dilihat cuba menghasut rakyat untuk mempertikaikan pengisytiharan darurat.
Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS, Nazir Helmi dalam satu kenyataan berkata, keputusan darurat oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong adalah tepat berikutan situasi semasa akibat wabak COVID-19.
“Pengisytiharan darurat adalah atas pertimbangan dan kebijaksanaan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong,
“Ianya berdasarkan situasi semasa akibat daripada bencana besar dan pandemik yang mengancam keselamatan serta kehidupan ekonomi rakyat Malaysia.
“Sehingga hari ini, bilangan kes semakin meningkat dan terus mencapai ribuan angka sehari,” kata Nazir.
Beliau menambah, proklamasi darurat turut diterima baik oleh rakyat Malaysia berdasarkan pungutan suara oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).
“Pungutan suara MKN yang disertai oleh hampir 120 ribu responden menunjukkan majoriti rakyat setuju dengan darurat,
“Bagi rakyat, ini adalah satu tindakan wajar kerana nyawa dan keselamatan merupakan aspek yang penting walaupun mereka terpaksa menelan kepayahan ini,
“Mereka sanggup berkorban bagi memastikan memastikan kestabilan yang lebih baik dalam tempoh yang bakal mendatang,” ujarnya.
Beliau menambah, tindakan Anwar Ibrahim mengajak semua Ahli parlimen untuk menderhaka dan menentang Proklamasi Darurat ini sebagai sesuatu yang tak boleh diterima.
“Beliau sepatutnya dilihat sebagai tokoh negara yang rasional dan menolak matlamat peribadi dalam keadaan getir ini,
“Namun sebaliknya berlaku, beliau memilih untuk menjadi batu api dan mengheret rakyat ke arah kegusaran,
“Tanpa segan silu, beliau menjadikan keselamatan rakyat sebagai taruhan sekali lagi, demi mencapai cita-cita peribadinya” tegas kenyataan itu.
Selain itu, Nazir turut menegaskan pendirian Pemuda PAS bawah sebarang usaha untuk mempertaruhkan nyawa rakyat demi kepentingan peribadi merupakan satu pengkhianatan besar kepada Agong, negara serta rakyat jelata.
Beliau menambah, waktu sukar ini sepatutnya menjadi masa kepada para ahli politik untuk menolak tepi matlamat mereka.
“Seharusnya pada waktu inilah kita berhenti berpolemik dan bersatu hati, meneruskan segala idea dan rancangan bagi melandaikan lekuk jangkitan COVID-19,
“Cadangan gopoh serta tidak bijak Anwar Ibrahim untuk menolak Proklamasi Darurat ini juga langsung tidak disertakan dengan idea lain,
“Anwar hanya mendesak untuk diadakan Persidangan Parlimen dalam keadaan rakyat sedang diancam jangkitan wabak,” ujarnya.
Menurut Nazir, kes COVID-19 yang kian menular di kalangan Ahli Parlimen perlu dijadikan iktibar.
“Setakat hari ini, sudah 5 orang Ahli Parlimen dijangkiti wabak COVID-19. Masih perlukah sidang Parlimen diadakan?
“Dan apa muslihat Anwar mendesak persidangan Parlimen? Untuk jatuhkan kerajaan melalui undi tidak percaya?
“Tidak cukupkah kita dengan apa yang berlaku di Sabah selepas kerajaan dijatuhkan, dan seluruh rakyat terpaksa menanggung akibatnya?” tegas Nazir. – airtimes.my