KUALA LUMPUR, 12 Jan – Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini menegaskan penduduk di negeri yang menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak dibenarkan keluar dari rumah atau tempat tinggal.
“Mereka tidak dibenarkan keluar dari tempat kediaman kecuali atas sebab-sebab tertentu,
“Hanya 2 orang wakil isi rumah dibenarkan keluar untuk mendapatkan bekalan makanan, ubat dan keperluan asas,” jelas Menteri semasa Sidang Media Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), hari ini.
Menurut beliau, had pergerakan wakil isi rumah terbabit hanya dalam lingkungan 10 kilometer dari tempat kediaman mereka.
“Sekiranya tiada perkhidmatan kesihatan atau perubatan dalam lingkungan tersebut, mereka boleh pergi ke tempat yang terdekat di luar lingkungan tersebut,
“Hanya 3 orang sahaja termasuk pesakit dibenarkan keluar untuk mendapatkan perkhidmatan kesihatan pada satu-satu masa,” ujarnya.
Menurut beliau, klinik kesihatan dan hospital dibenarkan beroperasi selama 24 jam.
Namun, waktu operasi farmasi hanya dibenarkan mulai pukul 6 pagi sehingga 8 malam.
Tempoh waktu operasi yang sama turut dikenakan kepada premis perniagaan seperti restoran, kedai makan, kios, kedai serbaneka dan gerai penjaja.
“Operasi kedai makan adalah terhad kepada membawa pulang makanan berbungkus, pandu lalu dan perkhidmatan penghantaran sahaja,
“Aktiviti pembekalan makanan sebegini hanya dibenarkan dari pukul 6 pagi sehingga 8 malam,” jelas Ismail Sabri.
Beliau menambah, stesen minyak dibenarkan beroperasi dari pukul 6 pagi sehingga 10 malam. Stesen minyak di kawasan lebuh raya dikecualikan dari had waktu operasi yang diumumkan.
Sementara itu, Menteri menyatakan bahawa operasi sekatan jalan raya (SJR) akan berkuatkuasa mulai tengah malam 13 Januari. Ini seiring larangan pergerakan merentas negeri di seluruh negara dalam pengumuman oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, semalam.
Namun begitu, Ismail Sabri menjelaskan terdapat beberapa pengecualian khusus untuk membenarkan pergerakan keluar masuk kawasan PKP.
“Pergerakan ke kawsan PKP bagi kes kecemasan seperti kematian adalah dibenarkan sekiranya telah mendapat kebenaran dari pihak polis,
“Kes kecemasan seperti bencana alam juga dibenarkan,” jelasnya.
Menyentuh pergerakan individu dan badan bukan kerajaan (NGO) yang ingin memberi bantuan bencana, Ismail Sabri menegaskan mereka perlu memohon kebenaran pihak polis.
“Sebelum pergi, mereka perlu berjumpa dengan pihak polis bagi mendapatkan kebenaran untuk merentas kawasan,
“Setibanya dilokasi, mereka perlu menyalurkan bantuan kepada Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) di bawah kendalian Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),” katanya.
Semalam, Perdana Menteri telah mengumumkan 6 negeri telah dikenakan PKP berikutan kawasan terbabit telah mencatatkan rekod kes jangkitan COVID-19 yang tinggi.
Antara negeri yang dikenakan adalah Pulau Pinang, Selangor, Melaka, Johor, Sabah dan Wilayah Persekutuan yang merangkumi Kuala Lumpur, Labuan serta Putrajaya. – airtimes.my