Home Pertahanan dan Keselamatan Op Benteng: 10,861 PATI, 854 tekong ditahan sejak Mei 2020

Op Benteng: 10,861 PATI, 854 tekong ditahan sejak Mei 2020

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 12 Jan – Seramai 10,861 pendatang asing tanpa izin (PATI), 854 tekong serta 426 penyeludup ditahan menerusi Operasi Benteng (OP Benteng) sejak 20 Mei lepas hingga semalam.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pihak berkuasa juga merampas 227 bot atau kapal dan 1,174 kenderaan kenderaan darat dalam operasi tersebut.

“Sehingga 11 Januari 2021, terdapat 15,669 kes penglihatan melibatkan 93 PATI dan 15,482 buah kapal telah dilaporkan,

“Secara kumulatif, sejumlah 1,776 kes pengusiran turut dilakukan melibatkan 1,006 PATI, 9 tekong dan 532 buah kapal/bot,” jelasnya dalam sidang media khas berkaitan perkembangan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan, hari ini.

Menurutnya, Op Benteng telah berjaya menahan 47 PATI, 4 tekong dan 5 penyeludup serta merampas 9 buah kenderaan darat dalam operasi yang diadakan semalam di seluruh negara.

Tambahnya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut membuat 112 sekatan jalan raya (SJR) Op Benteng di seluruh negara melibatkan SJR Op Benteng dan Penawar yang melibatkan PDRM, ATM serta RELA iaitu sebanyak 46 SJR.

“Manakala, Op Benteng PDRM sebanyak 56 dan Op Benteng AKSEM (9),” jelasnya.

Dalam masa yang sama, beliau menjelaskan kerajaan akan melaksanakan operasi SJR berkuat kuasa tengah malam Rabu, 13 Januari 2021 ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan di 6 buah negeri iaitu Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), Melaka, Johor dan Sabah.

“6 lagi negeri iaitu Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu, Kelantan dan 3 Zon di Sarawak iaitu Kuching, Sibu dan Miri dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) manakala Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bagi Perlis serta Sarawak, untuk tempoh sama,

“Langkah tersebut dibuat kerana kerajaan memandang serius situasi ini khususnya apabila fenomena harian penularan COVID-19 terus mencatat angka empat digit sejak November 2020,” jelasnya. –airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!