KUANTAN, 9 Jan – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah melaksanakan penerbangan ihsan dengan membawa seorang lelaki warga emas yang mengalami serangan jantung dan memerlukan segera rawatan pakar di Hospital Tunku Ampuan Afzan, Kuantan, malam tadi.
TUDM dalam kenyataan berkata, pesakit, Marathan Muthu a/l Manikam, 72 tahun terpaksa diterbangkan menggunakan pesawat Helikopter EC725 AP dari No 10 Skuadron, Pangkalan Udara Kuantan kerana keadaan banjir di sekitar daerah Termeloh masih terjejas serta beberapa jalan raya tidak boleh dilalui oleh kenderaan darat.
“Sebelum ini pesakit menerima rawatan awal di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh,
“Namun, disebabkan kondisi beliau yang memerlukan rawatan pakar, penghantaran melalui udara terpaksa dilaksanakan dengan segera,” jelas TUDM dalam kenyataan.
Operasi penerbangan bermula pada jam 9.30 malam dari Pangkalan Udara Kuantan bagi mengambil pesakit di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seberang Temerloh dan tiba semula di Pangkalan Udara Kuantan jam 10.50 malam.
Misi penerbangan dikendalikan oleh Komander Pesawat Mej Mohd Asmil Faiq Adnan TUDM dan Pembantu Juruterbang Kapt Thaddaeus Raphael anak Azis@Sait TUDM.
“Turut terlibat adalah Kuartermaster Udara(AQM) PW U II Abdul Latif Md Amin dan Sjn U Jilvanio Stephanus,
“Selain itu, operasi ini turut disertai oleh seorang jururawat dan seorang pembantu perawatan kesihatan, “ tambahnya. –airtimes.my