[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=cEeTuieTJ3k[/embedyt]
RAUB, 8 Jan – Ketua Skuadron Bina 91 Rejimen Bantuan, Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD), Leftenan Kolonel Norhejeri Shamsudin akui anggotanya yang bertungkus lumus membina jambatan Compact Bailey 200 dalam keadaan keletihan kerana mengambil masa 2 hari untuk menyiapkannya.
“Biarpun keletihan, kita semua bangga dan seronok untuk menyiapkannya kerana berjaya membantu masyarakat setempat,
“Sepatutnya jambatan ini boleh disiapkan dalam tempoh 15 jam, namun disebabkan perkara yang tidak dapat dielakkan, kita berjaya juga menyiapkannya dalam masa 2 hari,” katanya kepada Air Times selepas pasukannya berjaya menyiapkan jambatan tersebut.
Beliau berkata jambatan sejauh 24 meter ini dibina melibatkan 2 pegawai dan 45 anggota lain-lain pangkat (LLP).
“Kita berharap bantuan yang telah disumbangkan dengan menggunakan aset Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dapat membantu masyarakat setempat,
“Jadi ini bantuan dapat dihulurkan pihak kami kepada masyarakat buat masa ini,” jelasnya.
Dalam pada itu, Pengarah Lojistik NADMA, Amaluddin Suib berkata kejayaan ini adalah hasil kerjasama dari pelbagai agensi seperti 91 RAJD, Pejabat Tanah dan Daerah Raub serta Jabatan Kerja Raya (JKR) Raub.
Beliau berkata, setelah NADMA mengetahui ada jambatan yang runtuh, agensi tersebut telah mengkoordinasikan dengan memohon kerjasama daripada 91 RAJD.
“Aset-aset milik NADMA yang ditempatkan di 91 RAJD telah digunakan untuk membina jambatan ini,
“Alhamdulillah, telah diberi kelulusan dalam tempoh yang singkat dan pada 7 Jan 2021 bermulalah proses pembinaan jambatan ini,
“Akhirnya pada petang ini dapat disiapkan dalam tempoh yang singkat,” katanya. – airtimes.my