SUBANG, 7 Jan – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah melaksanakan penerbangan ihsan dengan membawa seorang bayi perempuan berusia 55 hari yang mengalami masalah jantung.
Misi penerbangan ihsan itu dilaksanakan dengan menggunakan pesawat C-130H dari No 20 Skuadron Pangkalan Udara Subang, petang semalam.
TUDM dalam satu kenyataan berkata, bayi tersebut yang sebelum ini dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu perlu menjalani pembedahan segera di Sunway Hospital, Petaling Jaya, Selangor.
“Bayi tersebut diterbangkan dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Terengganu ke Pangkalan Udara Subang dengan mengambil masa selama 52 minit,
“Penerbangan ini dikendalikan oleh Mej Muhammad Izwanshah Azman TUDM selaku juruterbang dan dibantu oleh Kapt Mohammad Syaaban Zainal Abidin TUDM selaku pembantu juruterbang,
“Turut mengiringi bayi dalam penerbangan ini adalah ibu bapanya, seorang pegawai perubatan dan dua paramedik,” katanya.
Menurut TUDM, selain melaksanakan penerbangan ihsan, pesawat C-130H ini turut melaksanakan tugasan rondaan maritim bagi Operasi Pejarak dan Operasi Benteng di kawasan Laut China Selatan dalam usaha melindungi perairan negara daripada kemasukan pendatang tanpa izin (PATI) serta ancaman-ancaman anasir luar.-airtimes.my