RAUB, 7 Jan – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melalui Tentera Darat Malaysia (TDM) telah melaksanakan pembinaan jambatan di Kampung Lechar, Raub, Pahang yang runtuh akibat banjir sejak Sabtu lalu.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pembinaan jambatan ini melibatkan 2 orang pegawai dan 31 anggota lain-lain pangkat (LLP) oleh pasukan 91 Rejimen Bantuan, Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD), Kem Batu Kentomen, Kuala Lumpur.
Beliau berkata, sebahagian jambatan yang runtuh ini telah menjejaskan lebih 300 penduduk di Taman Perumahan Makmur Lechar Jaya dan Perumahan Kos Rendah Kampung Lechar serta masyarakat setempat di kawasan berkenaan.
“Jambatan ini merupakan jalan penghubung utama yang membolehkan mereka keluar masuk,
“Melalui NADMA kita (ATM) telah mempunyai 10 jambatan Bailey yang boleh dibina dengan segera dan bersedia untuk diatur gerak sebilang masa,
“Begitu jaga dengan aset dan anggota yang sentiasa bersedia untuk membantu dalam apa jua keadaan,”katanya selapas meninjau kerja pemasangan jambatan sementara di Kampung Lenchar, Ulu Dong, Raub Pahang, pagi tadi.
Ismail Sabri menambah, jambatan yang dibina ini adalah sepanjang 24 meter dan 7.35 meter lebar yang akan mengambil masa pembinaan lebih kurang 8 hingga 15 jam.
“Paling cepat jambatan ini boleh disiapkan adalah dalam masa 8 jam, tetapi disebabkan kawasan dan ruang yang sempit serta tidak rata, mungkin ia akan memakan masa sehingga 15 jam,
“Proses pembinaan jambatan ini telah bermula pada jam 12.30 malam tadi dan dijangka siap pada pukul 8 malam ini,” tambahnya.
Beliau berharap dengan pembinaan jambatan yang akan disiapkan ini, ianya dapat membantu penduduk di Kampung Lechar yang terputus hubungan dalam meneruskan kehidupan seharian di kawasan tersebut.
“Terima kasih kepada anggota tentera yang terlibat. Begitu juga kementerian serta agensi-agensi lain sama ada di peringkat Persekutuan atau negeri serta daerah yang membantu,” ujarnya.
Menurut Ismail Sabri, jambatan baru kekal yang akan dibina dikawasan yang sama ini, dijangka akan disiapkan dalam jangkamasa 8 hingga 12 bulan.
“Sehubungan itu, sehingga jambatan kekal ini siap dibina, jambatan sementara Bailey akan digunakan oleh penduduk setempat dan ia selamat digunakan,
“Penduduk kampung tidak perlu bimbang, walaupun namanya jambatan sementara, dari aspek keselamatan dan penggunaan, ia selamat,
“Jambatan ini boleh bertahan sehingga 60 tan muatan. Tidak perlu bimbang, ia selamat digunakan,” ujarnya.-airtimes.my