KUCHING, 7 Jan – Sebanyak 12 siri cubaan pendatang asing tanpa izin (PATI) dan penyeludupan yang berhasrat untuk keluar serta masuk ke Sarawak melalui lorong tikus di sempadan antarabangsa Malaysia – Indonesia berjaya dipatahkan oleh anggota Tentera Darat Malaysia (TDM).
Markas Divisyen Pertama Infantri Malaysia (1 Div) dalam kenyataan berkata, seramai 34 PATI telah berjaya ditahan dan diusir keluar dari Sawawak sejak 1 Januari lalu.
Menurutnya, kebanyakan PATI yang ditahan berlaku dalam Sektor Serikin yang mencatatkan 4 kes pengusiran PATI melibatkan 23 orang PATI manakala 2 kes pengusiran dicatatkan di Sektor Lubok Antu melibatkan 9 PATI dan terdapat juga satu kes di Sektor Kandaie melibatkan 2 PATI.
“Disamping berjaya menahan dan mengusir PATI, anggota tentera yang bertugas diperbatasan juga berjaya menggagalkan cubaan penyeludup untuk menyeludup keluar barangan makanan ke Indonesia di Sektor Tebedu dan Sektor Lubuk Antu dengan anggaran nilai rampasan berjumlah RM 4,192.70,
“Pelbagai alasan dan taktik digunakan oleh PATI untuk menyelinap dan penyeludup membawa barangan keluar serta masuk ke Malaysia berkemungkinan atas desakan hidup berikutan impak daripada pandemik wabak COVID-19,” menurut kenyataan itu.
Tambahnya, ATM sentiasa bersedia dan meningkatkan lagi kesiagaan dalam mengekang kegiatan jenayah rentas sempadan serta aktiviti menyelinap masuk ke Sarawak.
“ATM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba melakukan jenayah dan membolosi sempadan negara sebilang masa,” ujarnya. –airtimes.my