KOTA BELUD, 6 Jan – Anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) melalui formasi Divisyen Kelima Infantri Malaysia (5 Div) telah membantu Agensi Pengurusan Bencana Negeri (NADMA) Sabah dengan memasang concertina wire di 3 laluan utama jalan keluar dan masuk Kampung Timbang Dayang.
Pemasangan tersebut adalah selaras dengan Perintah Kawalan Perintah Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang dilaksanakan pada 5 hingga 18 Januari 2021 susulan peningkatan kes postif COVID-19 yang mendadak di daerah berkenaan.
Markas Divisyen Kelima Infantri Malaysia (5 Div) berkata, aktiviti pemasangan 14 gelung concertina wire ini melibatkan seorang pegawai dan 15 anggota lain-lain pangkat (LLP) daripada Rejimen 507 Askar Wataniah (AW) dan diketuai oleh Leftenan Muda Mohammad Sapawi Allesar.
“ATM sentiasa komited dan sedia untuk membantu NADMA Sabah bagi mengawal serta menyekat penularan COVID-19 dalam komuniti setempat di kawasan berisiko tinggi,
“Pihak Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Belud dan Rej 507 AW akan melaksanakan pemantauan berkala ke atas sekatan menggunakan concertina wire yang dipasang sehingga 18 Januari depan,” jelasnya.
Sebelum ini, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjelaskan, PKPD tersebut dilaksanakan ekoran peningkatan kes positif COVID-19 di lokaliti tersebut.
Menurutnya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melaksanakan 207 saringan dan daripada jumlah itu, sebanyak 24 kes positif telah direkodkan.
“PKPD ini bagi memudahkan tindakan kawalan dan pencegahan lapangan dijalankan serta bagi menyekat penularan jangkitan COVID-19 di dalam komuniti setempat,” tambahnya. –airtimes.my