NEGERI SEMBILAN, 6 Jan – Tentera Darat Malaysia (TDM) telah melaksanakan Projek Jiwa Murni (PJM) dengan membaiki dua buah rumah penduduk yang daif di Kampung Batu Hampar, Chembung pada 2 dan 3 Januari lalu.
Markas Briged Pertama Infantri Malaysia (1 Bgd) berkata, program anjuran Pusat Khidmat Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Chembong ini turut mendapat kerjasama dari Majlis Belia Daerah Rembau dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) DUN Chembong.
“PJM ini melibatkan seramai 30 anggota lain-lain pangkat (LLP) dari pasukan Batalion ke-15 Rejimen Askar Melayu Diraja (15 RAMD) dan 10 anggota LLP dari Kem 1 Bgd serta dibantu penduduk setempat,
“Walaupun negara sedang berdepan pandemik COVID-19, PJM terus menjadi salah satu aktiviti Angkatan Tentera Malaysia (ATM) demi kesejahteraan rakyat,” katanya.
Antara objektif PJM ini adalah untuk mengeratkan hubungan sillaturahim di antara penduduk setempat dan sebagai salah satu cara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam memberi sumbang khidmat kepada masyarakat.
Program ini telah dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Luar EXCO dan ADUN Labu, Tun Ismail Ahmad.- airtimes.my