KUANTAN, 6 Dis – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah mengaturgerakkan Tentera Darat Malaysia (TDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) untuk berkerjasama dalam membantu mangsa bencana banjir di sekitar negeri Pahang sejak Isnin lalu.
Pasukan yang telah diaturgerak adalah di bawah Markas Briged Keempat Infantri Malaysia (Mekanize), TLDM Tanjung Gelang dan TUDM Kuantan bagi membantu mangsa banjir yang terjejas.
“Berdasarkan Arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) 20, ATM merupakan antara agensi kerajaan yang bertanggungjawab membantu mangsa bencana alam.
“Negeri Pahang merupakan kawasan tanggungjawab Operasi Murni bagi 4 Bgd (Mek) dan telah mengaturgerakkan 6 pasukan bagi membantu mangsa banjir disemua daerah di negeri Pahang bersama jentera seperti trak 3 tan, trak 7 tan dan bot tempur,” kata Markas 4 Bgd (Mek).
Manakala TUDM Kuantan juga telah mengaturgerakkan pesawat bagi membantu penduduk di kawasan terjejas dan TLDM Tanjung Gelang turut membantu dalam usaha menyelamat mangsa banjir yang terkandas. – airtimes.my
Gambar galeri: