KUALA LUMPUR, 5 Jan – Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjelaskan, kerajaan masih belum memutuskan sama ada untuk menyekat atau tidak pergerakan merentas daerah dan negeri buat masa kini walaupun berlakunya peningkatan kes positif COVID-19.
“Kita ada 2 pilihan sama ada membenarkan merentas daerah dan negeri ataupun mula menyekat pergerakan seperti dahulu,
“Buat masa ini kita masih lagi membenarkan pergerakan merentas daerah atau negeri dan tiada lagi sekatan pergerakan akan dijalankan,” ujarnya.
Ismail Sabri turut berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) masih lagi membuat kajian dan penilaian berkenaan risiko terhadap pergerakan rentas daerah dan negeri terutamanya di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Menurutnya, ketika ini pergerakan merentas daerah dan negeri adalah seperti biasa tetapi beliau juga mengingatkan rakyat untuk menjaga keselamatan diri dan keluarga dengan mematuhi prosedur standard operasi (SOP) dalam mengawal penularan wabak COVID-19.
“Sebagai alternatif diri, rakyat boleh membuat ujian saringan swab test secara sukarela sebelum keluar dari zon merah ke zon hijau,
“Begitu juga sekiranya rakyat ingin keluar dari zon merah ke zon hijau, ujian swab test secara sukarela juga boleh dilakukan,” jelasnya.
Ismail Sabri turut menjelaskan, walaupun tiada keputusan dibuat sebagai individu yang ingin menjaga keselamatan diri sendiri dan orang keliling, perlulah mengambil tindakan sendiri secara sukarela. – airtimes.my