LUBNAN, 31 Dis – Peranan dan sumbangan anggota wanita Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam misi pengaman Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di Lubnan tidak boleh dinafikan lagi.
Mereka memainkan peranan yang penting untuk Pasukan Pengaman Batalion Malaysia (MALBATT) 850-8 meneruskan misi di selatan Lubnan terutama dalam menangani isu seksual yang berlaku terhadap wanita dan kanak-kanak di negara bergolak itu.
Bagi menjaga sensitiviti jantina, anggota wanita MALBATT turut memberi fokus kepada golongan wanita di Lubnan dalam menangani masalah kesihatan dan keluarga.
Pasukan Pengaman Batalion Malaysia (MALBATT) 850-8 yang menjalankan misi UNIFIL disertai 5 orang pegawai dan 35 anggota lain-lain pangkat (LLP) wanita dari ketiga-tiga cabang perkhidmatan ATM.
Penugasan wanita bukan sahaja di dalam pejabat tetapi mereka turut dipertanggungjawabkan untuk memastikan keselamatan Kem Ma’arakah UNP 2-1 sentiasa terjamin dan terpelihara.
“Antara tugas anggota wanita MALBATT 850-8 termasuklah sebagai pengawal pintu utama UNP 2-1, anggota pos pemerhati dan juga tukang masak,
“Anggota wanita juga turut terlibat dalam perubatan dan ada yang bertindak sebagai anggota woksyop di mana mempunyai kemahiran untuk membaiki kenderaan tentera,
“Selain itu juga, mereka turut ditugaskan bersama kumpulan ronda bagi tujuan mendekati rakyat Lubnan dalam memastikan hubungan masyarakat dengan MALBATT sentiasa terjalin dan erat,” jelasnya.
Ianya seiring dengan matlamat UNIFIL untuk mempertingkatkan penglibatan wanita dalam misi UNIFIL. – airtimes.my