KOTA KINABALU, 30 Dis – Kumpulan militan Abu Sayyaf dan mereka yang menjalankan kegiatan Kidnapping For Ransom (KFR) masih cuba menceroboh ke kawasan ini untuk melakukan penculikan serta lain-lain jenayah rentas sempadan.
Sehubungan itu, Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali menjelaskan, perintah berkurung di kawasan perairan 7 daerah dalam Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE) yang berakhir besok dilanjutkkan hingga 15 Januari tahun depan.
Hazani berkata perintah berkurung dari 6 petang hingga 6 pagi itu meliputi kawasan perairan Tawau, Semporna, Kunak, Lahad Datu, Kinabatangan, Sandakan dan Beluran.
Menurut beliau, perintah berkurung itu adalah bagi menjamin keselamatan dan kesejahteraan rakyat Sabah yang menjadi pengguna perairan serta rakyat yang berada di kawasan daratan ESSZONE.
“Perintah ini diteruskan bagi memastikan kawasan perairan berkenaan tidak diceroboh pengganas yang mengancam keselamatan penyelidik antarabangsa yang menjalankan penyelidikan dan pelancong asing yang melawat pulau peranginan,
“Ia juga memudahkan penguatkuasaan dan pemantauan terhadap pergerakan bot serta menimbulkan rasa selamat serta yakin kepada pengusaha chalet dan nelayan dengan kehadiran pasukan keselamatan,
Beliau turut mengarahkan semua Ketua Polis Daerah di ESSZONE untuk mengeluarkan permit kepada pemohon yang layak bagi tujuan aktiviti perikanan dan sekiranya ada keperluan mendesak untuk melalui kawasan perintah berkurung tersebut. – airtimes.my