KUALA LUMPUR, 21 Dis – Leftenan Jeneral Datuk Hasagaya Abdullah secara rasminya mengambil alih tugas sebagai Naib Canselor Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) keenam hari ini.
Majlis serah menyerah tugas berlangsung di antara Hasagaya dengan Leftenan Jeneral Datuk Abdul Halim Jalal di Bilik Mesyuarat Senat, Bangunan Canselori, UPNM.
Abdul Halim yang berkhidmat sebagai Naib Canselor kelima di UPNM bermula 1 Mei 2018 telah menyerahkan tugasnya pada 18 Disember lalu. Pada 19 Disember 2020, secara rasminya Hasagaya memulakan tugas sebagai Naib Canselor UPNM yang baharu.
Dalam ucapannya, Hasagaya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Datuk Abdul Halim serta barisan kepimpinan UPNM di atas kejayaan mengekalkan standard 5 Bintang (very competitive) dalam keputusan penarafan Institut Pengajian Tinggi (IPT) di Malaysia.
“Malah dalam masa yang sama buat julung kalinya UPNM juga telah mendapat pengiktirafan audit pengawasan bersih (zero defects) oleh Llyods baru-baru ini. Sesungguhnya kedua-dua kejayaan ini pastinya telah meningkatkan imej positif UPNM di kaca mata masyarakat dan universiti-universiti lain,
“Oleh itu, prestasi cemerlang ini perlulah kita terus kekalkan. Kita semua mesti terus mengorak langkah serta berusaha gigih untuk terus memacu kejayaan demi mengangkat martabat UPNM mencapai matlamatnya sebagai sebuah universiti yang bertaraf dunia pada masa hadapan kelak,” ujarnya.
Beliau menzahirkan rasa amat berbesar hati di atas pelantikan ini, bertekad dan berazam untuk melaksanakan serta menggalas amanah yang diberikan sebaik mungkin selain mengharapkan sokongan padu, buah fikiran dengan kebijaksanaan agar dapat menjalankan tugas dengan sebaiknya.
Sebelum ini, Hasagaya telah memegang jawatan sebagai Timbalan Panglima Tentera Darat dan mempunyai latar belakang pendidikan akademik yang cemerlang. Pelantikan ini adalah berasaskan kepada kriteria yang ditetapkan dan memenuhi standard bagi maksud menjawat jawatan sebagai Naib Canselor.
Majlis diakhiri dengan perbarisan penghormatan perpisahan daripada Pegawai Kanan, staf dan pelajar UPNM serta kawalan kehormat (Quarter Guard) daripada Akademi Latihan Ketenteraan, UPNM bagi memberi penghormatan kepada Datuk Abdul Halim.
Turut hadir, Pengerusi Lembaga Pengarah UPNM, Tan Sri (Dr.) Syed Azman Syed Ibrahim dan Pengurusan Tertinggi UPNM. – airtimes.my