SEMPORNA, 20 Dis – Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) menahan 7 individu termasuk 3 warga asing kerana disyaki terlibat dalam sindiket pengedaran sebanyak 139.82 gram dadah jenis syabu dalam dua serbuan berasingan di Kampung Batu, Semporna.
Komander ESSCOM, DCP Datuk Ahmad Fuad Othman berkata, kesemua mereka yang ditahan terdiri daripada 4 lelaki dan 3 wanita berumur dalam lingkungan 16 sehingga 80 tahun.
Menurutnya, pada jam 4 petang pada Khamis lalu, serbuan pertama telah dibuat oleh pasukan keselamatan yang diketuai oleh anggota ESSCOM di rumah yang tidak bernombor atas air dan mendapati dadah jenis syabu di atas lantai ruang tamu rumah berkenaan.
“Hasil pemeriksaan, terdapat 1 bekas plastik yang tertulis Tactix yang mengandungi 151 paket plastik kecil lutsinar berisi hablur-hablur jernih disyaki dadah jensi syabu seberat 82.78 gram.
Dianggarkan bernilai RM 8,000.00 serta 50 gulungan kecil foil aluminium,
“Pemeriksaan lanjut juga mendapati, 3 orang daripada mereka positif dadah hasil saringan awal dan tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah,
“Kesemua 5 individu yang terdiri daripada 3 lelaki dan 2 wanita yang berumur 16-30 tahun telah di tahan untuk siasatan lanjut dan kes akan disiasat dibawah seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam hantaran di media sosial ESSCOM.
Manakala dalam serbuan kedua di lokasi yang sama, anggota pasukan telah menyerbu sebuah rumah atas air yang terletak bersebelahan dengan rumah suspek pertama.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati, satu beg tangan warna biru mengandungi paket-paket lutsinar hablur jernih disyaki syabu seberat 57.04 gram dan dianggarkan bernilai RM5,000.00 dan 20 gulung foil aluminium.
“Turut dirampas 1 unit penimbang digital berwarna hitam, barangan peribadi dan wang tunai berjumlah RM 3019.00 dan 300 peso mata wang asing,
“2 individu dalam rumah berkenaan yang terdiri daripada seorang lelaki dan seorang wanita berumur antara 70-80 tahun telah ditahan untuk siasatan lanjut dan kes akan disiasat dibawah seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” tambahnya.
Tambahnya, ESSCOM dengan kerjasama semua agensi keselamatan yang terdiri daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysian (APMM) akan sentiasa melakukan rondaan serta kawalan keselamatan secara agresif bagi mengekang aktiviti penyeludupan barang-barang terlarang.
Ahmad Fuad menyeru kepada semua lapisan masyarakat khususnya komuniti pesisir pantai agar sentiasa memberikan kerjasama termasuk menjadi mata dan telinga pasukan keselamatan dengan melaporkan sebarang perlakuan jenayah dan aktiviti yang melibatkan penyeludupan. -airtimes.my