Home Pertahanan dan Keselamatan Tentera Darat tahan 2 tekong sumbat 10 PATI Indonesia dalam kenderaan SUV

Tentera Darat tahan 2 tekong sumbat 10 PATI Indonesia dalam kenderaan SUV

by Shahir Ali

KUCHING, 19 Dis – Tentera Darat Malaysia (TDM) menahan 15 pendatang asing tanpa izin (PATI) dan 2 orang tekong yang cuba membolosi negara melalui lorong tikus di sempadan Malaysia-Indonesia.

Markas Divisyen Pertama Infantri Malaysia (Mk 1 Div) dalam hantaran di laman sosialnya berkata, penahanan tersebut dibuat dalam 2 siri tangkapan yang berasingan ketika anggota sedang melaksanakan rondaan Operasi Benteng (Op Benteng) di kawasan tersebut.

Dalam kejadian pertama, pada 17 Disember 2020 jam 10.00 malam, kumpulan Serkap telah melihat 5 orang PATI sedang berjalan ingin merentasi sempadan menuju ke Malaysia di sektor Tebedu 1.4 dari sempadan Malaysia-Indonesia.

“Setelah ditahan dan disoal siasat, mereka mengakui berasal dari Entikong dan telah menggunakan lorong tikus sebagai laluan utama ke Miri untuk bekerja,

“Hasil pemeriksaan juga mendapati mereka tidak membawa sebarang dokumen pengenalan diri dan kesemua mereka telah diusir keluar dari Malaysia,” katanya.

Manakala, pada jam 8.30 malam pula, kumpulan Serkap melihat sebuah motorsikal melalui jalan Ladang Kelapa Sawit Ensawang, Lubuk Anto dalam keadaan mencurigakan dan dipercayai sedang meninjau keadaan kawasan tersebut.

“Pada jam 11.15 malam, kumpulan Serkap bertindak menahan kenderaan SUV dan mendapati 10 orang warga Indonesia serta 2 orang warganegara Malaysia berada di dalam kenderaan tersebut,

“Hasil soal siasat mendapati 6 warga Indonesia ingin pulang ke Indonesia manakala 4 lagi ingin masuk ke Malaysia secara tidak sah. Dipercayai 2 warganegara Malaysia sebagai tekong darat yang bertanggungjawab membawa kesemua mereka,

“Turut dirampas 18 buah telefon bimbit, 47 kotak rokok, 53 pek serbuk milo, barang kemas, walkie talkie, makanan ringan, wang tunai RM4,746.65, mata wang Indonesia 68,341 (RM 12.71), pedang samurai dan sebuah kenderaan jenis utiliti Sporty (SUV) jenis Kia Sorento,

Menurutnya, semua rampasan dianggarkan bernilai RM87,674.36. Manakala kesemua PATI dan 2 tekong telah dibawa ke Balai Polis Lubuk Antu untuk membuat ujian COVID-19 oleh pihak KKM sebelum diambil keterangan serta laporan Polis.

Tambah TDM, anggotanya akan sentiasa bersedia dan meningkatkan kesiagaan serta tidak dikompromi dengan mana-mana pihak yang cuba melakukan jenayah rentas sempadan.– airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!