KUALA LUMPUR, 19 Dis – National Task Force (NTF) menerusi Operasi Benteng (Op Benteng) telah menahan 46 pendatang asing tanpa izin (PATI) dan 2 tekong yang ceroboh sempadan negara, semalam.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Op Benteng yang membabitkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (AKSEM) turut merampas 8 kenderaan darat dalam operasi tersebut.
“Operasi secara bersepadu ini adalah untuk mengekang kemasukan PATI dalam usaha membanteras jenayah rentas sempadan selain menyekat penularan wabak COVID-19,
“Sebanyak 118 sekatan jalan raya (SJR) telah dilaksanakan semalam yang melibatkan Op Penawar ATM, PDRM dan RELA sebanyak 47 SJR,
“Manakala Op Benteng PDRM (62 SJR) dan Op Benteng AKSEM (9 SJR),” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), hari ini.
Sementara itu, PDRM telah menahan 249 individu atas kesalahan ingkar arahan PKPP, di mana 248 telah dikompaun dan seorang direman, semalam.
“Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (132), tidak memakai pelitup muka (63) dan gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (54),” tambahnya.
Ismail Sabri berkata, PDRM juga telah membuat 47,811 pemeriksaan dalam operasi pematuhan semalam,
“Sebanyak, 2,777 Pasukan Pematuhan telah membuat pemantauan di 3,549 pasar raya, 4,761 restoran serta 1,794 penjaja, 1,144 kilang, 3,321 bank dan 548 pejabat kerajaan. Juga dipantau, sebanyak 962 terminal pengangkutan darat, 245 terminal pengangkutan air serta 111 terminal pengangkutan udara,” ujarnya. –airtimes.my