Home PolitikBarisan Nasional Sokong bajet 2021 bukti BN sentiasa dahulukan rakyat – Ismail Sabri

Sokong bajet 2021 bukti BN sentiasa dahulukan rakyat – Ismail Sabri

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 17 Dis – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Barisan Nasional (BN) menyokong penuh Rang Undang-Undang (RRU) Perbekalan 2021 yang diluluskan di peringkat dasar di Dewan Rakyat baru-baru ini.

Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera berkata, Bajet 2021 yang diluluskan diperingkat dasar itu adalah bukti UMNO dan BN benar-benar telus dan jujur dalam memperjuangkan nasib serta kepentingan rakyat.

“Kerana itulah, UMNO dan BN telah membangkit dan memastikan beberapa perubahan dibuat dalam bajet tersebut agar ia lebih mesra rakyat,

“Meskipun terdapat cubaan untuk menggagalkan belanjawan ini melalui undi belah bahagi tetapi sikap solidariti dalam kepimpinan BN berjaya membawa kepada kelulusan belanjawan ini,

“Jika kita lihat semasa BN menjadi pembangkang, semua Ahli Parlimen BN tetap menyokong belanjawan kerajaan ketika itu kerana apa yang menjadi keutamaan perjuangan BN adalah nasib rakyat,

Menurutnya, BN sentiasa mendahulukan kebajikan, keselamatan dan kesejahteraan rakyat apatah lagi di kala negara sedang dilanda pandemik COVID-19, sudah pasti Belanjawan 2021 ini perlu disokong bagi meningkatkan taraf hidup rakyat khususnya golongan yang amat memerlukan.

“Ini terbukti apabila BN menyuarakan dan bertegas agar kerajaan melulus serta mempermudahkan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebagaimana yang diharapkan rakyat kerana pengeluaran KWSP ini dapat meringankan kos sara hidup rakyat yang makin terhimpit akibat COVID-19,

“Perjuangan BN tidak pernah lari dan tidak akan berubah iaitu sentiasa mendahulukan rakyat dan ia selari dengan slogan UMNO ‘Bersatu, Bersetia dan Berkhidmat’,” tambahnya.

RUU Perbekalan (Belanjawan) 2021 yang dibacakan buat kali ketiga berjaya diluluskan di Dewan Rakyat dengan undian majoriti tipis pada 15 Disember lalu.

RUU itu diluluskan melalui undi belah bahagi selepas bacaan kali ketiga oleh Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang menyaksikan 111 ahli Parlimen bersetuju, 108 tidak bersetuju dan seorang tidak hadir. –airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!