Home Pertahanan dan Keselamatan Angkatan Tentera Malaysia tingkat keupayaan pertahanan siber negara

Angkatan Tentera Malaysia tingkat keupayaan pertahanan siber negara

by M.Daim

[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=SIGEYf7XwYg[/embedyt]

 

KUALA LUMPUR, 16 Dis – Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang TUDM hari ini menegaskan penubuhan Bahagian Siber dan Elektromagnetik Pertahanan (BSEP) merupakan langkah terbaharu Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berdepan dengan ancaman siber.

“Penubuhan BSEP ini merupakan bukti kesediaan dan kesungguhan ATM untu berdepan ancaman domain siber dan elektromagnetik,” katanya semasa menyampaikan ucapan majlis pelancaran BSEP di Auditorium Binary.

Menurut beliau, kesemua pelaksanaan aktiviti domain siber dan elektromagnetik akan disatukan di bawah naungan BSEP.

“BSEP akan bertindak sebagai agensi pendahulu (leading agency) di peringkat ATM dan Kementerian Pertahanan dalam domain ini,

“Bahagian ini akan mengkoordinasikan semua perkara berkaitan siber dan elektromagnetik,

“Dengan ini, aspek kawal dan perintah akan lebih tersusun, terkawan dan dapat dilaksanakan dengan lancar,” ujar beliau.

Menurut Affendi, kemajuan teknologi semasa dalam dunia komunikasi tanpa sempadan membawa ancaman tersendiri kepada negara.

“Secara tidak langsung, ianya boleh merapuhkan pertahanan dan keselamatan negara,” katanya.

Beliau menambah, ancaman sebegini boleh datang dari dalam dan luar negara.

Majlis pelancaran ini turut menyaksikan pemakaian lencana Ketua Pengarah BSEP dan penyerahan simbol kuasa kepimpinan kepada Laksamana Muda Datuk Shamsuddin Ludin.

Panglima Angkatan Tentera memakaikan lencana Ketua Pengarah BSEP kepada Laksamana Muda Datuk Shamsuddin Ludin. Foto: M Daim/Air Times

Sementara itu Markas Angkatan Tentera Malaysia dalam satu kenyataan berkata, penubuhan BSEP adalah selari dengan peningkatan ancaman semasa dalam domain siber dan elektromagnetik.

Penubuhan BSEP bermula dari transformasi Bahagian Komunikasi dan Elektronik Pertahanan (KOMLEK) ke arah penguasaan maklumat (Information Superiority).

KOMLEK ditubuhkan pada tahun 1993 dan diletakkan di bawah pemerintahan Markas ATM

“KOMLEK telah menjalani pelbagai penjajaran dan penjenamaan sehingga tertubuhnya BSEP,

“BSEP akan menumpukan Aktiviti Siber Elektromagnetik (Cyber Electromagnetic Activities, CEMA) sebagai domain baharu dalam senarai peranannya,

“Penambahan domain baharu ini tidak mengubah peranan kovensional bahagian ini,” jelas kenyataan itu.

Menurutnya, penubuhan BSEP adalah selari dengan intipati Perintah Ulung Panglima Angkatan Tentera dan Kertas Putih Pertahanan.

Bagi memantapkan pertahanan siber negara, BSEP turut menjalinkan kerjasama strategik dengan National Cyber Security (NACSA), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia serta Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).

“Kerjasama ini akan memastikan ancaman siber dapat ditangani dengan lebih baik dan holistik,

“BSEP akan menjadi antara lembayung utama untuk melindungi rangkaian komunikasi strategik negara,” kata kenyataan itu lagi. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!