KUALA LUMPUR, 15 Dis – Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menyifatkan slogan “no Anwar no DAP” hanya digunakan oleh beberapa pemimpin yang berjawatan kerana mereka tidak mahu kerajaan Perikatan Nasional (PN) tumbang.
Mohd Puad dalam hantaran di media sosialnya mempersoalkan apakah mereka ini nasionalis dan agamawan tulin.
“Biar ahli dan rakyat menilai sama ada mereka hipokrit atau tulin,
“Maaf, kalau kritikan ini keras dan pedas. Tetapi saya tidak mohu menoleh ke belakang. Saya tidak apologatik dan takut dikecam,
“Nak marah marahlah. Saya yakin masih ramai yang bersetuju dengan saya tetapi mereka simpan di dalam hati,” katanya.
Menurut Mohd Puad, pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) juga tumpang semangkuk guna slogan “no Anwar no DAP” untuk menyerang UMNO.
“Sejujurnya mereka takut dan rasa terancam jika wujud kerjasama itu,
“Benar, no Anwar no DAP adalah keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO. Annuar Musa (Tan Sri Annuar Musa) guna slogan ini untuk pertahan PN,
“Sebagai ahli MKT, saya pula tidak mahu UMNO terlalu rigid,” ujarnya.
Tegasnya, perkara ini ditimbulkan bukan soal untuk membentuk satu gabungan baru sebaliknya kerjasama politik seperti Pakatan Harapan (PH) menyokong usul UMNO di Perak untuk menyingkir bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu adalah tidak salah.
“UMNO pun bukan ahli PN. Muafakat Nasional (MN) juga belum daftar,
“Kita harus terbuka dengan kerjasama politik. DAP dan PKR pernah sokong usul tergempar UMNO dalam Parlimen bila membantah serangan Israel di Palestin,” katanya lagi.
Beliau juga tidak menafikan ada akar umbi UMNO yang masih keliru apabila ada pemimpin UMNO yang berunding dengan Tun Dr Mahthir Mohamad dan Datuk Seri Mohd Azmin Ali tanpa pengetahuan MKT.
“Dulu, siapa terfikir PAS bergabung dengan DAP. Siapa terfikir Muslimat PAS julang bendera Roket semasa Pilihan Raya Umum (PRU) dan Pilihan Raya Kecil (PRK),
“Siapa terfikir Mahathir dan Muhyiddin bergabung dengan DAP untuk menjatuhkan UMNO? Wajarkah mereka dianggap pengkhianat kepada orang Melayu dan Islam kerana menjatuhkan kerajaan Melayu dengan bantuan Anwar dan DAP?,” soalnya.
Mohd Puad berpendapat slogan no Anwar no DAP tidak semestinya relevan sepanjang masa, ini kerana senario politik berubah, orang pun berubah dan juga pemikiran politik lagi cepat berubah.
“Lim Chong Eu dipecat daripada DAP kerana terlalu cauvinis. Tetapi bila dia membentuk kerajaan campuran di Pulau Pinang bersama BN, dia dilihat sebagai tokoh moderate,
“Maka jika perlu, apa salahnya kerajaan perpaduan bermula di Perak. UMNO mesti berani mempeloporinya demi kelansungan rakyat. Kenapa mesti takut,” ujarnya.
Katanya, UMNO luas pengalaman berpuluh tahun mentadbir negara dengan suhu perkauman yang sentiasa tinggi seperti rusuhan kaum 1969 adalah pengajaran terbaik.
“Tetapi dengan formula BN 1974, peristiwa itu tidak berulang walaupun sentiasa panas. Bahkan MCA dan MIC ada kalanya lebih keras membangkitkan isu kaum,
“Maka apakah dengan pengalaman itu tiba tiba UMNO rasa takut dan lekeh untuk urus kerjasama dengan sesiapa hatta DAP. Yang penting kemampuan, kebijaksanaan, ketegasan, konsensus dan kejujuran politik,
“Justeru UMNO Perak wajar diberi peluang bentuk kerajaan perpaduan tanpa perlu gabungan parti politik yang rigid. Ia pembuka jalan,” jelasnya lagi. – airtimes.my