Home Pertahanan dan Keselamatan TLDM pintas 2 bot, berkas 2 PATI Indonesia ceroboh perairan Kota Tinggi

TLDM pintas 2 bot, berkas 2 PATI Indonesia ceroboh perairan Kota Tinggi

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 14 Dis – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berjaya memintas 2 buah bot yang mencurigakan melibatkan 2 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia menerusi Operasi Benteng (Op Benteng) di sekitar perairan Pulau Che Kamat, Kota Tinggi, awal pagi tadi.

Markas Divisyen Ketiga Infantri (3 Div) dalam satu kenyataan berkata, kejadian tersebut berlaku  di sektor Op Benteng kawasan tanggungjawab Briged Ketujuh Infantri Malaysia (7 Briged).

“Dalam kejadian yang berlaku sekitar jam 11.50 malam, anggota pos pemerhati telah mengesan 2 buah bot dalam keadaan mencurigakan sedang berlegar di sekitar  perairan Pulau Che Kamat  berhampiran Pantai Kampung Bukit Raja Laut, Teluk Ramunia, Kota Tinggi, Johor,

“Bertindak atas maklumat, TLDM sedang melaksanakan rondaan di perairan tersebut turut mengatur gerakan Tim Quick Reaction Force (QRF) untuk membuat penjejakan dan mengepung kawasan,” katanya.

Selepas itu, pada jam 1.05 pagi TLDM telah berjaya memintas 2 buah bot dan membuat tangkapan keatas 2 orang PATI yang bertindak sebagai tekong laut.

“Kesemua PATI tersebut adalah lelaki warganegara Indonesia berusia 24 dan 28 tahun yang cuba memasuki negara ini melalui jalan yang tidak sah,

“Nilai rampasan keseluruhan tangkapan dianggarkan berjumlah RM6,572.23 melibatkan sebuah bot fibre dan enjin bot Yamaha 15 kuasa kuda, wang tunai matawang Indonesia serta telefon bimbit,

“Kesemua PATI ditahan dan dibawa ke Markas Taktikal Tanjung Sepang untuk menjalani pemeriksaan dan saringan COVID-19 sebelum diserahkan kepada pihak Jabatan Imigresen Malaysia,”ujarnya.

Menurutnya, laporan polis telah dibuat di Balai Polis Bayu Damai dan pihaknya akan terus mengatur gerakan Tim QRF bagi menjejak saki baki PATI disekitar kawasan tangkapan.-airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!