[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=b-A6Se55CSI[/embedyt]
KUALA LUMPUR, 14 Dis – Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang TUDM hari ini menegaskan kejayaan Operasi Benteng (Op Benteng) adalah hasil kerjasama dan sokongan padu rakyat terutamanya di kawasan sempadan tanah air kepada pihak National Task Force (NTF).
Menurut beliau, masyarakat di kawasan tersebut telah memberikan banyak maklumat yang tepat kepada NTF untuk membendung kegiatan penyeludupan dan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI).
“Mereka (rakyat) telah menyalurkan maklumat berkesan dan tepat bagi membolehkan agensi-agensi yang terlibat dalam Op Benteng untuk bertindak sewajarnya,
“Terima kasih kepada rakyat Malaysia terutamanya di kawasan sempadan kerana memberikan kerjasama kepada NTF,” kata Affendi semasa sidang media di Wisma Perwira, hari ini.
Terdahulu, Panglima Angkatan Tentera menyempurnakan Majlis Menandatangani Prosedur Tetap Operasi (PTO) Op Benteng di Wisma Perwira.
PTO dibangunkan sejak April bagi menyelaraskan kerjasama pelbagai agensi bernaung dibawah NTF dalam melaksanakan Op Benteng.
Dalam ucapan perasmian majlis, Affendi menjelaskan penglibatan masyarakat sebagai mata dan telinga kepada pasukan keselamatan merupakan satu titik kejayaan operasi ini.
“Sebanyak 653 aduan dari rakyat telah direkodkan melalui talian hotline NTF yang diaktifkan sejak Jun lalu,
“Sikap ambil berat oleh rakyat telah membuahkan kejayaan untuk menahan penyeludup dan membanteras PATI,” katanya.
Op Benteng dilancarkan melalui penubuhan NTF semenjak Mei lalu bagi mengekang penularan wabak COVID-19 dari luar negara oleh PATI.
Operasi ini kemudiannya diperkasakan bagi membendung kegiatan jenayah rentas sempadan yang boleh mencabar kedaulatan negara.
Sehingga kini, NTF melibatkan 19 agensi dan kementerian termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta Polis Diraja Malaysia. – airtimes.my