KUCHING, 14 Dis – Tentera Darat Malaysia (TDM) mengusir 12 pendatang asing tanpa izin (PATI) cuba menyelinap masuk ke Sarawak melalui lorong tikus dalam empat kejadian di sempadan Malaysia-Indonesia pada Ahad lepas.
Markas 1 Divisyen (1 Div) dalam satu kenyataan berkata, cubaan kesemua PATI dikesan oleh sepasukan anggota tentera yang sedang melaksanakan rondaan keselamatan sempadan dalam Operasi Benteng (Op Benteng) Sekitar Kandaie dan Sektor Tebedu.
“Kejadian pertama, berlaku sekitar jam 1.25 petang, sepasukan anggota yang sedang melaksanakan rondaan keselamatan sempadan di lorong-lorong tikus sekitar Sektor Kandaie telah berjaya mengesan dan menahan 3 orang PATI termasuk seorang kanak-kanak perempuan yang sedang berusaha untuk masuk ke Sarawak,
“Setelah ditahan dan diperiksa, mereka berasal dari Saparan, Indonesia,” kata kenyataan itu.
Manakala kejadian kedua berlaku di Sektor Kandaie sekitar jam 2.30 petang di mana 2 orang PATI sedang berjalan kaki di satu lorong ladang kelapa sawit dari sempadan Indonesia.
“Tanpa disedari pergerakan mereka diperhatikan oleh pasukan ronda sebelum ditahan dan disoal siasat,
“Kedua-dua PATI berasal dari Karangan, Indonesia dan ingin ke Lundu untuk bekerja,” jelasnya.
Seterusnya, kejadian ketiga pula berlaku sekitar jam 3.05 petang, juga di Sektor Kandaie, 2 orang PATI ditahan oleh anggota ketika sedang berjalan kaki di satu lorong ladang kelapa sawit.
“Setelah diperiksa dan disoal siasat, mereka berasal dari Karangan, Indonesia dan turut menyatakan ingin ke Kampung Selampit mencari kerja,
“Kesemua PATI diusir keluar dan laporan Polis dibuat di Balai Polis Lundu,” ujarnya.
Dalam pada itu, kejadian keempat pula berlaku pada jam 11.00 malam di Sektor Tebedu.
“5 orang PATI terdiri daripada 3 lelaki dan 2 perempuan ditahan oleh kumpulan SERKAP ketika sedang berjalan kaki dari arah sempadan Indonesia,
“Setelah disoal siasat, kesemua mereka yang tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan yang sah menggunakan lorong tikus untuk ke Sibu bagi tujuan bekerja,
“Laporan polis berkenaan pengusiran PATI tersebut telah dibuat di Balai Polis Tebedu,” katanya.
Menurut Markas 1 DIV, dalam tempoh 24 jam, 12 PATI telah diusir dalam 4 kejadian penahanan oleh pasukan yang beroperasi di sempadan Sarawak–Kalimantan Barat.
“Tanpa mengira batasan waktu, anggota keselamatan terutama TDM sentiasa bersedia mengawal dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba membolosi sempadan negara,” tegasnya. – airtimes.my