Home Pertahanan dan Keselamatan APMM rampas 2,118 kg Methamphetamine bernilai RM105.9 juta

APMM rampas 2,118 kg Methamphetamine bernilai RM105.9 juta

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 14 Dis – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang berjaya mematahkan aktiviti  penyeludupan dadah seberat  2,118 kilogram ke negara ini menerusi Operasi Pertiwi (Op Pertiwi) pada 9 Disember lalu.

Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil  Mat Som berkata, suspek yang merupakan seorang lelaki warga cina berumur 26 tahun ditahan sekitar jam 11.55 pagi di kedudukan 5.3 batu nautika selatan Pulau Kendi berhampiran Teluk Kumbar.

“Pasukan bot APMM yang sedang melakukan rondaan di perairan Pulau Kendi menerusi Op Pertiwi telah mengesan pergerakkan bot rekreasi berwarna putih/biru berjalur kuning dalam keadaan mencurigakan,

“Pasukan peronda APMM telah memberi amaran supaya memberhentikan bot tersebut, namun tidak diendahkan dan terus memecut laju sebelum suspek  nekad untuk terjun ke laut,

“Bot APMM terpaksa mengekori bot tersebut kerana bot bergerak tanpa pengemudi agar tidak membahayakan bot-bot yang lain,

“Suspek merupakan seorang lelaki warga tempatan berusia 26 tahun berbangsa Cina ditangkap sekitar jam 11.55 pagi, di kedudukan 5.3 batu nautika selatan Pulau Kendi dan bot suspek berjaya dihentikan,

“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat 130 guni berwarna kuning berisi 1,998 paket bungkusan teh cina mengandungi hablur kristal dipercayai dadah jenis methamphetamine dengan anggaran berat keseluruhan 2,118 kilogram,” katanya.

Menurut Mohd  Zubir, nilai anggaran rampasan dadah berjumlah RM105.9 juta bersama sebuah bot rekreasi dengan panjang 12.4 meter yang digunakan suspek bersama 2 enjin sangkut dengan kekuatan 300 kuasa kuda bernilai lebih kurang RM150,000 menjadikan jumlah keseluruhan RM106 juta.

“Barang termasuk bot dan enjin dirampas dan suspek direman bagi disiasat di bawah Seksyen 39(b) Akta Dadah Berbahaya 1952. Jika didapati bersalah suspek bakal berhadapan hukuman mati atau penjara seumur hidup,”katanya

Mohd Zubir menambah, modus operandi suspek kali ini sedikit berbeza berbanding tangkapan pertama di mana suspek melakukan aktiviti penyeludupan di waktu siang dan berselindung di sebalik penggunaan bot rekreasi bagi mengaburi mata penguat kuasa.

“APMM akan terus mempergiatkan lagi rondaan bagi mengekang berlakunya kesalahan jenayah maritim terutamanya jenayah di Zon Maritim Malaysia,

“Komuniti Maritim diseru untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti jenayah di laut kepada Pusat Operasi (PUSOP) Maritim Negeri Pulau Pinang,” ujarnya.-airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!