KUANTAN, 13 Dis – Seorang tekong bot nelayan asing bertindak menghulurkan RM2,000 kepada anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), selepas ditahan menceroboh perairan Pahang pada jarak 64 batu nautika timur Kuala Pahang, semalam.
Pengarah APMM Pahang Laksamana Pertama Maritim Datuk Amran Daud berkata, cubaan menghulurkan rasuah itu berlaku selepas pihaknya menahan tiga bot dan 45 kru termasuk tiga tekong, pada pukul 7 pagi menerusi Op Kuda Laut oleh KM Langkawi.
“Salah seorang tekong cuba merasuah dengan tawaran RM2,000 kepada anggota penguatkuasa bagi membebaskan mereka serta bot daripada ditahan, bagaimanpun anggota kami telah menolak cubaan rasuah tersebut dan menahan kesemua nelayan terbabit,” katanya.
Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati kesemua kru dan tekong merupakan warga Vietnam berumur lingkungan 17 hingga 53 tahun, dan tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan sah.
Selain itu, pemeriksaan juga menemukan tiga tan hasil laut serta bekalan diesel sebanyak 14,000 liter dengan anggaran barang rampasan termasuk bot sebanyak RM3 juta.
“Malah, salah satu bot nelayan terbabit juga cuba mengaburi pihak penguatkuasa dengan menggunakan nombor pendaftaran disyaki palsu,” katanya.
Amran Menurutnya, semua bot dibawa ke jeti Zon Maritim Kemaman, Terengganu, manakala 45 individu yang ditahan akan menjalani saringan COVID-19 sebelum tindakan lanjut diambil.
Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 16(3) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985, kerana memasuki dan menangkap ikan di kawasan perairan Malaysia tanpa kebenaran, serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki pengenalan diri yang sah, katanya. – Bernama