ALOR SETAR, 9 Dis – Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Satu Langkawi berjaya merampas 101,380 batang rokok pelbagai jenama bernilai RM93,580 yang disembunyikan dalam enam buah van di hadapan sebuah rumah di Jalan Dato Kumbar, semalam.
Komander PPM Wilayah Satu, ACP Rosman Ismail berkata, Unit Risikan Marin (URM) telah membuat pemeriksaan terhadap sebuah van dan mendapati sejumlah kartun rokok telah diletakkan di belakang but kenderaan tersebut.
Terdahulu, beliau berkata pemeriksaan telah dibuat keatas enam buah van yang berada di hadapan rumah turut menemukan sejumlah karton rokok yang disembunyikan.
“Pasukan URM dalam serbuan tersebut turut menahan dua lelaki berumur 45 dan 54 tahun yang dipercayai terlibat untuk menjaga van tersebut bagi membantu siasatan,
“Hasil pemeriksaan terperinci yang dijalankan mendapati semua rokok terbabit disyaki tiada cukai kastam dan dipercayai ingin diseludup ke pasaran tempatan,” katanya dalam hantaran media sosial rasmi PPM hari ini.
Menurutnya, anggaran keseluruhan nilai rampasan termasuk enam buah van berserta nilai cukai rokok adalah sebanyak RM 453,580.00.
“Kesemua barang rampasan dan van dibawa ke Balai Polis Kuala Kedah bagi tujuan dokumentasi,” katanya.
Menurutnya lagi, kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d)Akta Kastam 1967 diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar untuk tindakan lanjut.-airtimes.my