Home Semasa Jual ladang kelapa sawit milik Tabung Haji RM170 juta ‘tidak masuk akal’ – Pemuda UMNO

Jual ladang kelapa sawit milik Tabung Haji RM170 juta ‘tidak masuk akal’ – Pemuda UMNO

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 8 Dis – Pemuda UMNO menegaskan perjualan aset tanah ladang kelapa sawit milik Tabung Haji Plantation Berhad (THP) kepada Tamaco Plantation Sdn Bhd dengan harga RM170 juta melalui sepucuk surat bertarikh 24 November 2020 adalah sebagai ‘tidak masuk akal’.

Ketua Pemudanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mendesak kerajaan Perikatan Nasional (PN) di bawah pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin agar segera campur tangan menghentikan penjualan ‘luar tabii’ oleh Pengurusan THP yang merupakan lantikan kerajaan Pakatan Harapan (PH) terdahulu.

“Ia jelas tidak memberi manfaat kepada THP dan 9.4 juta pendeposit Tabung Haji,

“Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia amat kecewa dengan pendedahan Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Azeez Rahim di Dewan Rakyat pagi tadi, bahawa Unit Perancang Ekonomi (EPU), Jabatan Perdana Menteri (JPM) telah meluluskan penjualan aset tanah ladang kelapa sawit milik THP kepada Tamaco dengan harga RM170 juta,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, Pemuda UMNO telah berkali-kali mendesak agar lembaga TH dan pengurusan THP tidak meneruskan penjualan kedua-dua syarikat Bumi Suria Ventures Sdn Bhd (BSV) dan Maju Warisanmas Sdn Bhd (MWM) yang memiliki 6,514 hektar tanah di Sarawak.

“Pemuda UMNO telah menyerahkan memorandum membantah penjualan aset-aset THP kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed pada 30 September di lobi Parlimen,” ujarnya.

Dr Aysraf menegaskan, harga jualan pada RM170 juta ini telah disahkan sebagai ‘tidak masuk akal’ kerana jauh lebih rendah dari penilaian rasmi terakhir oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) ke atas aset ladang ini iaitu RM198 juta setelah 3 kali rayuan dibuat oleh THP.

“Lebih meragukan, nilaian asal ke atas aset ladang pada 2017 oleh jurunilai profesional CH Williams Talhar & Wong adalah pada harga RM380 juta sebelum ditukar kepada RM120 juta sahaja oleh Khong & Jaafar yang digantikan oleh Pengurusan baharu THP lantikan PH,

“Nilaian RM120 juta ini juga lebih rendah dari harga kos asal pembelian aset ladang pada 2013 ini iaitu RM234 juta,” tambahnya.

Walaupun wujud syarat Tamaco untuk mengadakan pemilikan kepentingan Bumiputera sebanyak 30 peratus dalam tempoh 1 tahun, logik penjualan aset-aset ladang ini untuk kepentingan THP telah hancur kerana harga satu tan Minyak Sawit Mentah (CPO) kini mencecah RM3,400.

Selain itu, potensi tanah-tanah ini untuk dimajukan kelak amat tinggi kerana ianya berhampiran dengan jajaran projek Lebuhraya Pan Borneo.

Sebelum ini, Pemuda UMNO juga telah mendesak kerajaan supaya menghentikan segala proses serta membatalkan keputusan pelupusan anak-anak syarikat THP dan masih tidak berganjak dengan pendirian agar sebuah Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) ditubuhkan bagi menyiasat dan membongkar segala penyimpangan dan sebarang salah laku dalam TH yang sering dibangkitkan sejak zaman PH. – airtimes.my

 

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!