Home Politik Tetapkan tarikh PRU untuk kembalikan keyakinan pelabur asing – Najib

Tetapkan tarikh PRU untuk kembalikan keyakinan pelabur asing – Najib

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 5 Dis – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini menegaskan kerajaan perlu mengumumkan tarikh pilihan raya umum (PRU) bagi membendung persepsi negatif oleh pelabur asing terhadap negara.

Beliau dalam satu hantaran di akaun media sosial rasminya berkata, langkah tersebut perlu diambil berikutan laporan penurunan penarafan gred Malaysia oleh Fitch.

Najib menambah, media asing telah berjaya menimbulkan persepsi negatif terhadap kerajaan hari ini.

“Saya perhatikan bahawa media asing mempunyai persepsi bahawa kerajaan Perikatan Nasional (PN) hari ini adalah sebuah kerajaan pintu belakang yang tidak stabil,

“Ini mungkin disebabkan oleh propaganda Pakatan Harapan yang agak berjaya dan juga budaya orang barat lebih mengutamakan demokrasi,

“Jadi, kerajaan juga patut umumkan satu tarikh atau tempoh yang tetap di mana pilihanraya umum akan diadakan agar mandat dikembalikan kepada rakyat dan satu kerajaan yang lebih stabil dapat dibentuk,” ujarnya.

Tegasnya lagi, kebimbangan dan kritikan pelabur asing mampu diredakan apabila satu tarikh atau tempoh yang tetap diumumkan.

Selain itu, Najib turut mengesa kerajaan untuk berhenti mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh memberi impak negatif kepada negara.

“Kerajaan Perikatan Nasional patut menjelaskan trend COVID-19 di dalam negara masih stabil dan jumlah kes aktif sebenarnya sudah menunjuk sedikit trend menurun sejak dua minggu lalu,

“Kita juga patut menjelaskan kepada mereka bahawa kerajaan sedang berusaha serta berunding dengan banyak lagi syarikat vaksin agar 100% Rakyat Malaysia akan menerima vaksin pada tahun depan dan bukan hanya 30% sahaja,

“Oleh itu, Perdana Menteri dan media kerajaan perlu berhenti mengeluarkan kenyataan yang boleh menghakis keyakinan pelabur terhadap negara,” tegasnya.

Selain itu, Najib menegaskan langkah kerajaan untuk menyuarakan rasa kecewa dan protes terhadap Fitch adalah tidak mencukupi kerana ianya berdasarkan dengan apa yang berlaku dengan laporan Moody’s terhadap Petronas pada tahun 2018.

“Dari pengalaman saya, benda boleh bawa bincang dengan kedua-dua syarikat ini sebelum mereka keluarkan penarafan terbaru bagi kita,

“Mereka boleh dipujuk jika kita ada asas dan kita jelaskan rancangan dan keadaan sebenar negara,

“Jadi, kerajaan patut mula berbincang dengan Moody’s dan Standard & Poor’s jika kita percaya bahawa terdapat ada asas yang kukuh kenapa ianya tidak adil bagi penarafan (oleh Fitch),” katanya.

Najib menambah, walaupun laporan oleh Fitch tidak begitu berpengaruh berbanding Moody’s dan Standard & Poor’s, kerajaan perlu mengambil peluang untuk bersemuka dengan dua syarikat penarafan antarabangsa yang lebih berpengaruh tersebut. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!