KOTA TINGGI, 2 Dis – Hasrat 9 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) untuk memasuki negara ini tidak kesampaian apabila mereka ditangkap oleh anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) di persisiran pantai Ladang Sungai Tengah 1, Bandar Penawar, Johor pagi tadi.
Kesemua mereka ditahan dalam 2 serbuan berasingan di kawasan Operasi Benteng (Op Benteng) bawah naugan Briged Ketujuh Infantri Malaysia (7 Briged).
Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia (3 Div) dalam kenyataan berkata, penangkapan tersebut dilaksanakan hasil maklumat daripada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan anggota petugas Pos Pemerhati yang mengesan pergerakan bot yang mencurigakan menghampiri kawasan berkenaan pada jam 2.20 pagi dan 8.15 pagi.
“Pada 2.20 pagi, pasukan telah mengatur gerak Tim Quick Reaction Force (QRF) utuk mengesan dan mengepung kawasan berkenaan. Hasil serbuan yang dilakukan telah berjaya menahan 8 PATI,
“Manakala, pada jam 8.15 pagi pula, hasil penjejakkan di sekitar kawasan berkenaan telah berjaya menahan seorang lagi PATI yang sedang bersembunyi di hutan berhampiran Ladang Sungai Tengah,” kata kenyataan itu.
Menurutnya, kesemua PATI yang ditahan merupakan warga negara Indonesia yang terdiri daripada 7 lelaki dan 2 perempuan berusia 24 hingga 45 tahun. Mereka dipercayai baru tiba ke negara ini melalui jalan yang tidak sah.
“Nilai rampasan keseluruhan tangkapan dianggarkan berjumlah RM 14,231.36 melibatkan wang tunai matawang Ringgit Malaysia RM 1,123.85 dan matawang Indonesia IDR 8,901,300.00 Rupiah (RM 2588.81) bersama 7 buah telefon bimbit, jam tangan dan barang kemas,” tambahnya.
Kesemua PATI ditahan dan dibawa ke Markas Taktikal Tanjung Sepang untuk menjalani pemeriksaan dan saringan COVID-19 sebelum diserahkan kepada pihak Jabatan Imigresen Malaysia.
Selain itu, pasukan meneruskan atur gerak tim QRF dan tim dron dari Bahagian Staf Perisikan Malaysia (BSPP) bagi menjejak saki baki PATI di sekitar kawasan tangkapan. – airtimes.my