Home Pertahanan dan Keselamatan ATM tambah dron perkasa kawalan di sempadan negara

ATM tambah dron perkasa kawalan di sempadan negara

by Nurulhuda

KEDAH, 2 Dis – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan terus berusaha memperkasa dan memperkemaskan kawalan keselamatan persempadanan melalui kekerapan rondaan selain penggunaan aset seperti dron bagi mengesan sebarang pergerakan di sempadan negara.

Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Affendi Buang TUDM berkata, kesiagaan dari segi aset dan persediaan anggota sentiasa berada pada tahap tertinggi dalam melaksanakan amanah yang dipikul agar dapat membendung sebarang anasir asing yang cuba mengganggu-gugat keamanan serta kedaulatan negara.

Beliau berkata, dengan pertambahan dron yang lebih banyak, aktiviti pengawasan di sempadan negara akan dapat dilakukan dengan lebih berkesan dan pantas selain dapat menjimatkan kos perbelanjaan operasi.

“Memang kita akui rondaan keselamatan di daratan ini penting, tapi apabila melibatkan sesuatu kawasan yang panjang dan besar, penggunaan aset yang sistematik juga penting,

“Untuk kita membuat pengawasan dan pengintipan di kawasan yang besar, kita memerlukan sesuatu alat yang boleh bertindak cepat serta dapat melalui kawasan yang sukar ditempuh oleh anggota keselamatan yang bertugas,

“Sebelum ini, pemantauan udara kita guna pesawat-pesawat yang kita ada termasuklah Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan mengunakan pesawat mereka dan ia melibatkan kos yang besar,

“Jadi untuk mengawal kawasan sempadan negara yang panjang ini, kerajaan akan membelanjakan kos yang sangat tinggi. Dan cara yang terbaik adalah dengan penggunaan dron di kawasan-kawasan yang terlibat,” katanya semasa lawatan kerja ke Operasi Benteng (Op Benteng) Zon Utara, sektor Op Pagar II di Bukit Kayu Hitam, hari ini.

Affendi menambah, ATM kini sedang memohon agar kerajaan meluluskan permohonan untuk mendapatkan lebih banyak dron-dron dari pihak-pihak yang terlibat agar dapat meluaskan dan memperkasakan pengawasan di sepanjang sempadan negara secara efektif.

“Satu lagi pendekatan yang boleh digunakan ketika ini adalah dengan menggunakan sistem dron. Dron yang boleh membuat tugas-tugas pengawasan yang penting,

“Buat masa ini, kita masih lagi memohon untuk mendapatkan dron-dron bagi meluaskan dan mempercepatkan lagi pengawasan secara efektif kerana sistem dron lebih senyap, laju dan ia juga menjimatkan penglibatan anggota,

“Saya ingin menyeru untuk menambhkan lagi aset-aset dron kita supaya agensi keselamatan yang terlibat boleh menggunkan dan dapat menambahkan keberkesanan operasi tersebut selain ia dapat mengurangkan kos operasi,” tambahnya.

Menurutnya, sehingga kini, National Task Force (NTF) telah berjaya menangkap dan merampas barang-barang penyeludupan seperti dadah serta daun ketum di kawasan sempadan negara ini yang bernilai hampir RM57 juta. Kejayaan ini adalah hasil rondaan anggota di daratan dan bantuan dari penggunaan aset dron yang memantau kawasan yang terlibat.

“Memang keupayaan anggota kita mampu mengawal sempadan negara, tapi saya percaya sekiranya aset-aset ini ditambah dengan pengawasan menggunakan sistem, kejayaan yang lebih besar mampu dicapai,” ujarnya.

Tambahnya, ekoran insiden yang mengakibatkan kematian seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) di sempadan Malaysia-Thailand di Padang Besar pada 24 November lalu, NTF telah melaksanakan kawalan sempadan yang lebih ketat dan agresif.

“Dan seperti semua maklum, penyeludup dilihat semakin terdesak dan berani sehingga menggunakan senjata api yang boleh mengakibatkan kecederaan sehingga mengakibatkan kematian kepada pasukan keselamatan kita,

“Itu salah satu tanda keberkesanan kawalan yang kita laksanakan, dan ia tidak boleh berhenti di situ. Semakin kita tambah kawalan, semakin mereka agresif,

“Pasukan keselamatan perlu meningkatkan lagi pengawasan dan kita juga mencari jalan dengan lebih efektif untuk terus menjaga kedaulatan negara,” jelasnya.

Panglima Angkatan Tentera turut mengadakan lawatan ke Markas Taktikal Batalion ketiga PGA (3 PGA) untuk melihat persekitaran kawasan operasi di bawah tanggungjawab PGA.

Turut hadir dalam lawatan ini adalah Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain, Komander National Task Force, Laksamana Madya Datuk Aris Adi Tan Abdullah dan Komander Briged Utara PGA, SAC Abdul Ghani Mohamad Ji.-airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!