KUALA LUMPUR, 1 Dis – Pasukan 91 Rejimen Askar Jurutera Diraja (91 Rej Bantuan RAJD) telah melaksanakan latihan kompetensi membina dan membuka jambatan Compact Bailey 200 bagi menguji kecekapan dan kemahiran teknikal anggota pasukan yang terlibat.
Latihan yang disertai seramai 7 pegawai dan 108 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) telah berlangsung selama 5 hari bermula dari 23 hingga 27 Nov 2020 di dataran kejat kenderaan jenis C (KJC), 91 Rej Bantuan RAJD, Kem Batu Kentomen.
Tentera Darat Malaysia (TDM) dalam hantaran di media sosial berkata, latihan ini dilaksanakan mengikut 4 peringkat iaitu perancangan dan persiapan tapak pembinaan, pergerakan aset jambatan dari stor simpanan ke tapak pembinaan, pelaksanaan pembinaan serta membuka semula jambatan.
Objektif utama latihan adalah untuk menguji kecekapan dan kemahiran teknikal dikalangan anggota-anggota yang telibat yang bukan sahaja tertumpu kepada anggota-anggota pembinaan dari Skuadron Bina namun, ia juga menguji kecekapan anggota-anggota Skuadron Sumber yang bertanggungjawab mengendalikan jentera semasa memuat naik komponen jambatan dan pengendalian jentera semasa pembinaan.
“Selain itu, elemen dari Skn Bantuan Khusus yang bertanggungjawab dalam pengeluaran dan penyimpanan komponen jambatan turut diuji dalam latihan ini,
“Bagi meningkatkan lagi keyakinan dan kompetensi dikalangan anggota, latihan ini juga dilaksanakan pada waktu malam,” katanya.
Jambatan Compact Bailey 200 ini merupakan ‘Jambatan Logistik’ yang berperanan untuk menghubungkan semula jalan berjurang atau jambatan yang terputus atau tidak selamat digunakan. Situasi ini boleh berlaku sama ada semasa perang ataupun semasa aman khususnya semasa bencana alam.
“Sejajar dengan peranan dan tugas pasukan ini dalam memberi bantuan mobiliti, aset ini sangat penting kepada pasukan,
“Justeru, latihan seperti ini amat perlu supaya tahap kesiagaan pasukan sentiasa berada ditahap yang tinggi dan sentiasa bersedia untuk diatur gerakkan apabila keadaan memerlukan,” ujarnya.
Galeri Gambar: