KOTA TINGGI, 29 Nov – Cubaan 5 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia untuk menyusup masuk ke negara secara haram mengundang padah apabila ditahan oleh anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) dalam Operasi Benteng (Op Benteng) di Teluk Ramunia, Bandar Penawar, Johor pagi tadi.
Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia (3 Div) dalam kenyataan berkata, penahanan itu dibuat di 2 lokasi yang berasingan iaitu di Kampung Masjid dan Kampung Wakap di Teluk Romania pada jam 2.10 pagi dan 9.00 pagi.
“Hasil tangkapan pertama oleh Quick Reaction Force (QRF) melibatkan 2 PATI pada jam 2.10 pagi di kawasan Kampung Masjid, Teluk Ramunia telah membawa kepada tangkapan kedua pada jam 9.00 pagi melibatkan 3 lagi PATI yang bersembunyi berhampiran Kampung Wakap,
“Kesemua 5 PATI yang ditahan dipercayai baru tiba ke negara ini melalui jalan yang tidak sah terdiri daripada 4 lelaki dan seorang perempuan berusia sekitar 22 hingga 41 tahun,
“Nilai rampasan keseluruhan tangkapan dianggarkan berjumlah RM 1,492.75 melibatkan wang tunai matawang Ringgit Malaysia dan matawang Indonesia bersama 2 buah telefon bimbit,” kata kenyataan itu.
Menurutnya, kesemua PATI telah ditahan dan dibawa ke Markas Taktikal Tanjung Sepang untuk menjalani pemeriksaan serta saringan COVID-19 sebelum diserahkan kepada pihak Jabatan Imigresen Malaysia.
Laporan Polis telah dibuat di Balai Polis Bayu Damai.
Selain itu, pasukan QRF terus melaksanakan atur gerak untuk menjejaki saki baki PATI di sekitar kawasan tangkapan. –airtimes.my