KUALA LUMPUR, 29 Nov – Penambahbaikan strategi dan rondaan untuk memperkukuhkan kawalan sempadan Malaysia-Thailand susulan insiden tembakan di kawasan berkenaan baru-baru ini sudah mula dilaksanakan sejak Khamis lalu bagi mengekang jenayah rentas sempadan.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman Datuk Seri Abd Rahim Jaafar berkata penambahbaikan berkenaan antaranya melibatkan penugasan rondaan dengan lebih ramai anggota berbanding sebelum ini.
“Selain itu, pasukan Komando VAT 69, Unit Berkuda Pasukan Simpanan Persekutuan, kenderaan berperisai, penggunaan dron dan rondaan melalui helikopter digunakan untuk membantu PGA membuat tinjauan di sempadan,” katanya kepada Bernama, semalam.
Mengulas mengenai penugasan PGA yang masih menggunakan pistol, beliau berkata penggunaan senjata api itu hanya untuk penugasan risikan manakala untuk rondaan, anggota PGA dibekalkan dengan senjata raifal.
Dalam perkembangan lain, Abd Rahim berkata PDRM telah mengadakan perbincangan dengan pihak berkuasa Thailand untuk membanteras kegiatan penyeludupan di kawasan sempadan negara.
“Sudah ada perbincangan antara Polis Diraja Thailand dengan Ketua Polis Perlis (Datuk Surina Saad) kerana berlakunya (kejadian) tembak di Perlis,” katanya.
Rabu lalu, Bernama melaporkan seorang anggota PGA cedera ringan selepas terkena tembakan ketika sedang bertugas di sempadan Malaysia-Thailand dekat Bukit Kayu Hitam, Kedah.
Kejadian tembakan di Bukit Kayu Hitam itu adalah yang kedua melibatkan serangan ke atas anggota PGA selepas insiden melibatkan dua anggota pasukan tersebut berbalas tembakan dengan penyeludup di Pos TS9 berdekatan Padang Besar, Perlis, awal pagi Selasa.
Dalam kejadian pada 3.10 pagi itu, anggota PGA, Sarjan Baharuddin Ramli, 54, maut, manakala Sarjan Norihan Tari, 39, parah, terkena tembakan.
Susulan itu, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik dan Jabatan Siasatan Jenayah, masing-masing telah menempatkan aset dan anggota tambahan, di sempadan Malaysia-Thailand bagi memperkukuh kawalan sempadan negara. – Bernama