MELAKA, 28 Nov – Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan peruntukan RM40 juta untuk proses menaik taraf dan menyelenggara 94 Hospital Angkatan Tentera (94 HAT) di Kem Terendak, Sungai Udang, Melaka.
Beliau berkata, peruntukan tersebut adalah untuk proses pembinaan bagi menampung keperluan semasa hospital berkenaan dalam menyediakan kemudahan kepada warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM), veteran dan juga mereka yang memerlukan.
Ismail Sabri berkata demikian semasa lawatan kerja ke Kem Terendak, Sungai Udang, Melaka pada hari ini.
“Banyak keperluan untuk memperbaiki dan menaik taraf kemudahan fasiliti, air dan elektrik yang sedia ada. Bilik Pembedahan dan bilik Unit Rawatan Rapi (ICU) juga perlu diperbesarkan bagi menampung lebih ramai pesakit,
“Sehubungan itu, peruntukan sebanyak RM 40 juta diberikan untuk kerja senggaraan dan naik taraf hospital ini,
“Jika segalanya berjalan lancar, kerja senggaraan tersebut boleh dilaksanakan seawal pertengahan tahun hadapan,” katanya dalam sidang media di 94 HAT, Kem Terendak, hari ini.
Pada masa yang sama, Ismail Sabri berkata, Kementerian Pertahanan akan mencari inisiatif lain untuk mendapatkan peruntukan bagi merealisasikan hasrat membina hospital tentera baharu di tanah seluas antara 1.21 hektar dan 1.61 hektar di Melaka.
Terdahalu, Ismail Sabri telah melaksanakan lawatan ke unit 10 Briged PARA (10 Bgd PARA) dan menyaksikan demonstrasi keupayaan tempur 10 Bgd PARA termasuklah pertunjukan penerjunan bebas, pertunjukan tempur tanpa senjata dan Sniper Insertion.
Ketibaan Ismail Sabri di Kem Terendak telah disambut oleh Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain, Panglima 3 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim dan Panglima 10 Bgd (PARA), Brigedier Jeneral Semaon Marjuki.
Turut hadir, Panglima Logistik Tentera Darat, Mejar Jeneral Datuk Md Fuad Abd Jalil, Asisten Ketua Staf Operasi dan Latihan Tentera Darat, Mejar Jeneral Datuk Hamdan Ismail serta Pegawai-pegawai Kanan Tentera Darat. –airtimes.my
Galeri Gambar