Home PolitikPakatan Harapan Ada suara nasihat saya untuk tinggalkan kerjasama dan hentam Tun M – Mat Sabu

Ada suara nasihat saya untuk tinggalkan kerjasama dan hentam Tun M – Mat Sabu

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 28 Nov – Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu mendakwa ada suara menasihatkannya untuk meninggalkan kerjasama dengan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau yang mesra dipanggil Mat Sabu menegaskan turut dinasihat untuk menghentam Tun Dr Mahathir.

“Saya katakan tidak. Kita telah bekerjasama dengan beliau, sama-sama sepentas melawan kerajaan kleptokrat yang sangat berkuasa, mengenali diantara satu sama lain, masakan saya hendak memaki hamun beliau (Tun M),” katanya dalam hantaran di media sosialnya hari ini.

Mat Sabu yang juga Ahli Parlimen Kota Raja berkata, prinsipnya apabila sudah bergabung dengan seseorang amat sukar untuk berpisah.

“Kita sentiasa mencari titik persamaan dan melupakan perbezaan silam dan ianya membuahkan kejayaan,

“Begitu jugalah halnya apabila kita bekerjasama dengan PKR pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim,

“Di dalam kerjasama ini, setiap orang ada kelebihan dan kelemahan. Tetapi apabila kita sudah bergabung amat sukar untuk berpisah disebabkan lamanya perhubungan sesama kita dan kesamaan titik perjuangan,” ujarnya.

Tambah Mat Sabu, pendiriannya sama dalam kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) yang menggabungkan tiga parti iaitu Amanah, DAP dan PKR.

“Hubungan kita dalam PH khususnya dengan Anwar adalah hubungan yang lama sejak 20 tahun yang lalu sama sama bersusah payah dalam perjuangan yang sama,

“Ianya mesti dipertahankan, disebalik semua pihak mempunyai kelemahan masing masing yang boleh diperbaiki,

“Yang lebih utama bagi kita adalah kesatuan dan persahabatan. Dalam masa yang sama kita sentiasa mencari jalan memperbanyakkan kawan dan mengurangkan lawan. Inilah sikap saya,” jelasnya.

Dalam pada itu, Mat Sabu menceritakan mengenai sikap dan pendiriannya dari dahulu apabila Tengku Razaleigh Hamzah dan kumpulannya menubuhkan Parti Melayu Semangat 46 (S46) dan ingin bekerjasama dengan PAS, pada peringkat awalnya, beliau agak sukar menerima kerjasama tersebut.

“Saya lebih cenderung bekerjasama dengan Parti Islah. Tetapi apabila PAS membuat keputusan untuk bekerjasama dengan S46, maka saya mendokong keputusan parti dan bekerja keras termasuk berceramah ke seluruh negara sepentas dengan pemimpin S46 termasuk Tengku Razaleigh sendiri,

“Pada tahun 1999, apabila PAS hendak bekerjasama dengan Parti Keadilan Nasional dalam Barisan Alternatif (BA), saya tidak bermasalah kerana yang memimpin Keadilan adalah mereka yang pernah terlibat di dalam gerakan gerakan belia termasuk ABIM, tokoh tokoh akedemik dan gerakan sivil serta vateran veteran politik tanah air yang sangat kita kenali,” ujarnya.

Tambahnya, ketika berlawan dengan Barisan Nasional (BN) yang dipimpin Tun Dr Mahathir, beliau melawan bersungguh-sungguh sehingga ditahan dibawah ISA sebanyak dua kali 1984-1986 dan 1987-1989.

“Pelbagai kata dan hentaman telah saya tujukan kepada Tun Dr Mahathir dalam ucapan ucapan ketika melawan BN dan bekas Perdana Menteri ketika itu,

“Tetapi apabila beliau menubuhkan Gerakan Selamatkan Malaysia dan seterusnya menubuhkan Parti Bersatu Pribumi Malaysia (PPBM) untuk melawan kerajaan BN pimpinan Datuk Seri Najib Razak, serta menghulurkan tangan untuk bekerjasama, maka kita terus bekerjasama dan bergabung di bawah PH,

“Kerja keras yang kita lakukan telah berjaya di dalam pilihanraya yang lalu dan mengambil alih kerajaan pada Mei 2018,” katanya. – airtimes.my

 

 

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!