[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=AQv4G2jrRXY[/embedyt]
KUALA LUMPUR, 26 Nov – Dua anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) yang terbabit dalam kejadian berbalas tembakan di sempadan Malaysia – Thailand, mendiang Sarjan Baharuddin Ramli dan Sarjan Norihan Tari akan dianugerahkan pingat Panglima Gagah Berani (PGB).
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin turut berkata, kedua-dua anggota PGA tersebut juga dinaikkan pangkat Sarjan berkuat kuasa serta merta.
“Sebagai mengenang jasa dan pengorbanan anggota terbabit, saya bagi pihak kerajaan, menjunjung kasih ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong atas perkenan Baginda untuk menganugerahkan pingat PGB kepada kedua-dua anggota yang terlibat,
“Tambahan daripada itu, KDN memperakukan supaya mendiang Baharuddin Ramli untuk dinaikkan pangkat Sarjan secara ‘posthumous’ dan anggota PGA yang cedera, Norihan Tari dinaikkan ke pangkat Sarjan secara medan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ahli Parlimen Kuala Krai, Abdul Latiff Abdul Rahman yang mahu Kementerian Dalam Negeri (KDN) memperincikan insiden serangan terhadap 2 anggota PGA itu dalam Dewan Rakyat, hari ini.
Terdahalu, Hamzah telah menjelaskan kejadian yang berlaku pada 3.10 pagi 24 November lalu, di mana 2 anggota PGA dari skim Orang Asli (Senai Praaq) sedang menjalankan tugas risikan di kawasan pintu A3, pos tembok sempadan 9, Padang Besar, Perlis.
“Ketika penugasan tersebut mereka terserempak dengan satu kumpulan penyeludup seramai 13 orang yang sedang menjalankan aktiviti penyeludupan,
“Dua anggota PGA tersebut diserang menggunakan senjata api dan kejadian berbalas tembakan telah berlaku. Dukacita dimaklumkan Koperal Baharuddin Ramli terkorban di tempat kejadian manakala Koperal Norihan Tari cedera parah terkena tembakan,” katanya.
Hamzah berkata, selepas kejadian itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menggeledah dan berjaya menahan 2 penyeludup warga Thailand dan seorang lagi warga Thailand juga ditahan keesokan harinya.
“Hasil siasatan lanjut, PDRM berjaya menahan 15 orang lagi suspek warga Malaysia dan seorang warga Thailand,
“Ini menjadikan jumlah yang ditahan PDRM setakat hari ini, berjumlah 19 suspek yang terdiri daripada 15 warga Malaysia dan 4 warga Thailand,
“Selain itu, pihak berkuasa Thailand juga menahan 4 suspek warga Thailand termasuk 3 yang cuba mendapatkan rawatan di hospital bagi kecederaan akibat tembakan,” tambahnya.
Hamzah menambah, siasatan awal PDRM mengesyaki kumpulan ini menyeludup dadah secara sistem barter dengan pertukaran daun ketum dari Malaysia dan dadah dari Thailand.
“Saya menegaskan, bahawa kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak dan akan megambil tindakan tegas terhadap mereka yang terlibat,
Tambahnya, KDN kini sedang merangka pelan strategik secara holistik bagi memperkasakan pelan kawalan keselamatan di sempadan negara dengan menggunakan aset dan fasiliti bersifat moden serta terkini.
“Aset-aset terkini seperti Dron, Armoured Personel Carrier (APC), Night Vision Goggles, GPS Tracker dan peralatan lain utk keselamatan sempadan,
“KDN berpandangan kesiapsiagaan dan keupayaan anggota keselamatan bertungkus lumus bertugas di sempadan juga harus diperkasakan,
“Perkara ini dapat direalisasikan melalui latihan dan kerjasama strategik bersama agensi dalam dan luar negara,” ujarnya. –airtimes.my